TELUK INTAN: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Perak di sini yang menelan belanja RM80.5 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2028 mampu mengatasi banjir di bandar Teluk Intan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek tersebut bukan sekadar bertindak sebagai penampan banjir tetapi turut menyediakan fasiliti kemudahan awam berkualiti.
Menurutnya, ia merangkumi laluan berbasikal, joging dan restoran terapung di bandar yang terkenal dengan tarikan udang galah itu.
“Projek yang berimpak tinggi ini mampu mengubah sejarah Teluk Intan dan segalanya berjalan dengan lancar kita boleh isytihar Teluk Intan sebagai zon bebas banjir.
“Kosnya RM80.5 juta dan terdapat laluan sepanjang tujuh kilometer berdepan Sungai Perak,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Taklimat Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Perak Fasa 1 di sini hari ini.
Katanya, terdapat rancangan untuk mewujudkan pelayaran sungai atau river cruise seperti di Kuching, Sarawak untuk menarik pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Pada masa depan Teluk Intan bukan sahaja akan terkenal dengan Menara Condong tetapi juga RTB,” katanya. – UTUSAN




