Rela tiada jawatan! BN Johor tak sudi ‘semeja’ dengan DAP jika diberi mandat -Onn Hafiz

Rela tiada jawatan! BN Johor tak sudi ‘semeja’ dengan DAP jika diberi mandat -Onn Hafiz

Barisan Nasional (BN) Johor menegaskan tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya diberi mandat sekali lagi untuk membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Pendirian yang dipegang oleh BN Johor

Memetik laporan daripada Buletin TV3, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan pendirian tersebut merupakan ketetapan politik yang dipegang oleh BN Johor dan bukan didorong oleh sentimen emosi atau perkauman.

“Jika diberi mandat sekali lagi, kita tidak sekali-kali akan bersama DAP dalam kerajaan.

“Ini bukan isu emosi atau perkauman, tetapi pendirian politik BN Johor.

“Saya lebih rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan mereka,” katanya.

Rakyat Johor sudah matang

Dalam ucapannya, Onn Hafiz turut menegaskan bahawa pelbagai dakwaan dan persepsi politik yang tersebar di media sosial perlu dijawab dengan fakta yang tepat.

Menurut beliau, antara naratif yang sering dimainkan ialah dakwaan kononnya BN dan DAP akan bekerjasama serta dakwaan bahawa kerajaan negeri tidak akan stabil.

“Rakyat Johor sudah matang. Mereka tahu menilai antara fitnah dengan fakta,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa PRN Johor diadakan lebih awal atas beberapa faktor termasuk keadaan kalendar sosial dan ekonomi yang dijangka lebih mencabar pada tahun hadapan.

Katanya, faktor seperti musim perayaan, musim tengkujuh serta ketidaktentuan geopolitik global memerlukan kestabilan politik diwujudkan lebih awal.

“Bulan puasa, Tahun Baharu Cina, Aidilfitri serta musim tengkujuh akan menjadikan tahun depan sangat mencabar untuk pengurusan pilihan raya.
“Ditambah pula ketidaktentuan geopolitik global… kita memerlukan kestabilan lebih awal,” katanya.

Beliau turut mengingatkan seluruh jentera BN supaya memperkukuhkan gerak kerja di peringkat akar umbi, khususnya dalam mendekati pengundi muda dan memastikan segala pencapaian kerajaan negeri dapat difahami dengan baik oleh rakyat.

Perkara tersebut dinyatakan beliau sewaktu berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor yang disempurnakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Stadium Educity, Iskandar Puteri, hari ini.

Sumber: Buletin TV3 (Azizi Majid)

Scroll to Top