PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang menunggu maklum balas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung permintaan agar laporan audit badan induk itu didedahkan kepada umum.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menggesa agar laporan penuh audit AFC terhadap FAM didedahkan kepada umum serta dibahaskan pada sidang Parlimen yang dijadual bermula 22 Jun ini.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul dan kini sedang menunggu maklum balas rasmi.
“Saya sudah menghantar kenyataan Ramkarpal kepada Windsor dan kami kini menunggu maklum balas daripada AFC mengenai perkara itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurut Noor Azman, FAM perlu berhati-hati dalam isu itu kerana tidak pasti sama ada laporan audit itu boleh diserahkan kepada pihak ketiga memandangkan badan induk itu tidak mahu sebarang bentuk campur tangan luar terhadap urusan pentadbiran persatuan.
“Jika ditanya kepada saya, kami tidak pasti sama ada laporan itu boleh diberikan kepada pihak ketiga kerana kami tidak mahu berlaku campur tangan luar terhadap persatuan.
“Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan bersama AFC dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Pada pandangan saya, isu ini sudah pun ditangani di peringkat AFC dan FIFA menerusi audit yang dijalankan. Biarlah perkara ini diuruskan antara FAM, AFC dan FIFA,” katanya.
Noor Azman turut berpandangan campur tangan pihak luar tidak diperlukan memandangkan AFC dan FIFA sebagai badan induk yang memantau perjalanan bola sepak negara sudah mengetahui keadaan sebenar hasil audit yang dilaksanakan.- UTUSAN




