am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Himpunan terbesar peminat motosikal berkuasa tinggi, Terengganu International Bike Week (TIBW) 2026 dijangka menghimpunkan lebih 90,000 peminat sukan permotoran itu termasuk pembabitan komuniti ‘bikers’ antarabangsa.
Program edisi ke-13 itu akan diadakan di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu di Terengganu pada 24 Jun hingga 28 Jun ini.
Penganjurannya sekali gus komitmen berterusan Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu bersama East Coast Motorcycle Club (ECMC) dalam memperkukuhkan momentum Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) serta persediaan awal kempen Tahun Melawat Terengganu 2027 (TMT 2027).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kehadiran berskala besar itu dijangka memberikan impak limpahan ekonomi kepada rantaian sektor domestik setempat.
Katanya, ia termasuk perhotelan, peruncitan, restoran, pengangkutan serta usahawan kecil dan sederhana (PKS) sekali gus memperkenalkan destinasi alam semula jadi Terengganu.
Menurutnya, peserta juga disaran menggunakan laluan pantai sepanjang 244 kilometer bagi menikmati keindahan alam semula jadi selain singgah di beberapa lokasi menarik di negeri berkenaan.
“Jadi ini adalah satu rangkaian ekonomi dalam sektor pelancongan Terengganu dan sebab itu kita memang menyokong penuh (penganjuran) TIBW,” katanya pada sidang media selepas Majlis Peluncuran TIBW 2026 di sini, malam tadi yang turut dihadiri Pengasas ECMC, Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu Tengku Datuk Seri Baharuddin.
Razali berkata, prestasi pelancongan Terengganu menunjukkan perkembangan yang sangat positif dengan kehadiran pelancong dianggar sudah mencecah 2.45 juta bagi suku pertama tahun ini.
Sementara itu, Tengku Baharuddin berkata, setakat ini hampir 50 kelab motosikal berkuasa tinggi sudah mengesahkan kehadiran bagi program berkenaan.
“Itu dalam negara sahaja, belum masuk lagi (kelab) daripada luar negara iaitu Thailand, Indonesia dan Singapura (akan turut menyertai program),” katanya.
TIBW 2026 menyediakan pelbagai program antaranya Festival Makanan dan kolaborasi eksklusif bersama Terengganu Coffee Fest, pameran aset strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui program Survivor Village, pertunjukan bot amfibia, persembahan Tempur Tanpa Senjata dan demonstrasi Brass Band Rejimen 512.
Selain itu, slot interaktif Pocket Talk bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta sesi sembang santai eksklusif bersama Ustaz Azhar Idrus dan kebudayaan tempatan, pertunjukan aksi ngeri, pertandingan Terengganu Autoshow, pertandingan Motor Lambat dan konvoi ride beramai-ramai dari R&R Paka ke tapak acara.
Malam Gala TIBW 2026 akan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada 27 Jun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




