harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya memang mahu pulang, tetapi ongkosnya (duit) tidak ada.” Itu alasan sering digunakan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia setiap kali ditangkap pihak berkuasa.
Alasan lapuk itu sering digunakan ‘pelawat’ dari negara jiran berkenaan walaupun ada antara mereka yang sudah menetap di Malaysia bertahun-tahun.
Kartini, 41, turut memberi alasan sama ketika ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menerusi Op Selera dan Op Belanja di sebuah kedai makan di Pantai Dalam, di sini, hari ini.
Ibu tunggal kepada seorang anak itu antara 30 PATI ditahan dalam operasi bersepadu berkenaan kerana didapati menyalahgunakan pas pekerja sebagai pembantu rumah sebaliknya bekerja di kedai makan.
“Saya memang mahu pulang tetapi ongkosnya tidak ada. Saya kerja di sini kerana ditipu ejen. Ejen sudah lari, saya kerja sebelum ini sebagai pembantu rumah tidak dibayar gaji. Makan pun satu kali sahaja.
“Saya tahan kerja dalam empat bulan sahaja kemudian saya cari kerja di sini (kedai makan), gaji RM60 sehari, belum sebulan pun saya di sini,” dakwanya.
Sementara itu, Ramesh, 45, ditahan di sebuah kedai telekomunikasi dan aksesori telefon mengaku tahu dia melakukan kesalahan apabila bekerja di kedai itu, namun memberi alasan terpaksa kerana mahu mencari pendapatan lebih.
“Saya ada permit kerja restoran, dulu saya kerja restoran (di) Pulau Pinang tapi gaji RM1,800 tak cukup mahu hantar anak, bini. Di sini gaji RM2,000 lebih. Saya tahu ini salah tapi mahu kerja juga untuk keluarga,” katanya yang sudah berada di negara ini sejak 2006.
Dalam operasi sama di sekitar Segambut Dalam, sebuah kedai gunting rambut ditinggalkan begitu sahaja selepas pekerja termasuk pelanggan warga asing bertempiaran lari apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Tinjauan wartawan di premis mendapati kedai gunting rambut berkenaan mempunyai pintu kecil di bahagian belakang yang digunakan warga asing untuk melarikan diri.
Terdahulu Harian Metro melaporkan 30 PATI ditahan dalam operasi bersepadu menggempur tiga kawasan tumpuan peniaga warga asing sekitar ibu negara, di sini, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




