am@hmetro.com.my
Alor Setar: Isu kelewatan pengagihan baja kepada pesawah di Kedah perlu disiasat hingga ke akar umbi supaya kelemahan dalam sistem pengurusan subsidi dapat dikenal pasti dan diperbaiki.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) penting untuk mengenal pasti sebarang kesalahan dan menjadi panduan kepada usaha menambah baik sistem sedia ada.
Katanya, isu berkaitan bekalan baja bukan perkara baharu berikutan masalah sama turut berlaku membabitkan bekalan benih dan racun kepada pesawah sejak sekian lama.
“Saya rasa isu baja ini bukan tahun ini saja. Berlarutan daripada dulu-dulu. Isu benih berlarutan, isu racun berlarutan. Kita macam tanam padi semalam, padahal tanam padi di Kedah ini sudah 1,000 tahun.
“Kena siasat betul-betul, tengok betul-betul. Kalau tak ada tangkapan, berilah pedoman untuk penambahbaikan, bagi pandangan bagaimana hendak tambah baik sistem ini.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang memberi respons segera. Siasat sampai ke akar umbi dan pastikan manfaat skim subsidi kerajaan ini sampai kepada petani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pelancaran Bakti Siswa Negeri Kedah 2026 dan Pelancaran Skim Perlindungan Takaful Untuk Siswa Kedah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, siasatan berkenaan perlu dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan manfaat skim subsidi kerajaan benar-benar sampai kepada golongan pesawah.
Beliau berkata, pandangan pesawah juga perlu diberi perhatian dalam usaha memperbaiki mekanisme bantuan kerana mereka lebih memahami keperluan sebenar di sawah.
“Pada anggapan orang, dia kata kalau bagi (bantuan) kepada petani ini, mereka tak buat padi, mereka pergi beli motosikal. Itu pada anggapan.
“Jadi kena turun duduk dengan orang yang buat bendang ini, mereka lebih faham daripada orang yang mengawal industri. Baja nak beli di mana, benih nak dapat di mana, beli bila, bulan berapa, mereka lebih faham,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, skim subsidi sektor padi juga tidak seharusnya dilihat hanya dari sudut perniagaan, sebaliknya kepentingan dan kebajikan pesawah perlu menjadi keutamaan.
Katanya, sebahagian bantuan kerajaan ketika ini disalurkan dalam bentuk bekalan seperti baja, racun, benih dan perkhidmatan berkaitan, menyebabkan pesawah tidak menerima peruntukan itu secara terus.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan SPRM menyiasat proses berkaitan kelewatan pengagihan baja kepada pesawah di Kedah selepas menerima aduan daripada golongan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
