Rumah Bangsa: Noh Omar, Syed Hamid, Hishammuddin kembali kepada UMNO

Rumah Bangsa: Noh Omar, Syed Hamid, Hishammuddin kembali kepada UMNO

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Beberapa tokoh UMNO yang pernah digugurkan dan digantung keahlian sebelum ini kembali menyertai parti itu sekali gus mengukuhkan lagi gagasan Rumah Bangsa.

Antaranya, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Noh Omar dan dan Tan Sri Syed Hamid Albar.

Pengumuman itu dibuat ketika Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Stadium Educity di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menyerahkan borang keahlian kepada ketiga-tiga pemimpin veteran itu yang disaksikan lebih 10,000 jentera yang hadir.

“Rumah Bangsa ini telah menerima sambutan yang sangat-sangat luar biasa. Bukan sahaja di kalangan pemimpin lama daripada UMNO yang telah bertukar arah suatu ketika dahulu, kini kembali.

“Dan kita harap di Johor ini, mereka akan turun bersama untuk berkempen memenangkan calon BN. Saya yakin mereka masih mempunyai pengaruh,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pelancaran jentera berkenaan.

Noh merupakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet termasuk Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani serta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau sebelum ini digugurkan keahlian UMNO pada Januari 2023 sebelum menyertai BERSATU.

Sementara itu, Syed Hamid antara tokoh kanan UMNO yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan, Menteri Luar Negeri dan Menteri Dalam Negeri serta pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Tinggi.

Hishammuddin yang juga Bekas Menteri Pertahanan kembali bersama kepimpinan parti selepas penggantungan keahliannya ditarik balik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top