razis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Sasaran pengambilan 31,000 pelajar ke Program Matrikulasi bagi sesi 2026/2027 mampu dicapai susulan sambutan menggalakkan selain masih ramai calon membuat rayuan untuk mengikuti program berkenaan.
Pengarah Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Azman Abd Karim berkata, proses pendaftaran yang bermula hari ini hingga 9 Jun menunjukkan perkembangan positif apabila pelajar mula mendaftar sama ada secara dalam talian atau hadir terus ke kolej yang ditawarkan.
Katanya, sehingga 11 pagi hari ini, lebih 1,000 pelajar sudah mendaftar di tiga kolej matrikulasi iaitu Kolej Matrikulasi Kelantan, Kolej Matrikulasi Kedah dan Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Kedah.
“Setakat ini proses pendaftaran berjalan dengan baik dan menunjukkan maklum balas positif daripada pelajar yang menerima tawaran kemasukan ke Program Matrikulasi KPM.
“Kami menjangkakan sasaran pengambilan pelajar bagi sesi kali ini dapat dicapai walaupun masih terdapat calon yang belum membuat keputusan menerima tawaran,” katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut, Azman berkata, Bahagian Matrikulasi KPM akan mengeluarkan tawaran kedua kepada calon yang tidak berjaya dalam tawaran pertama bagi mengisi kekosongan yang mungkin berlaku selepas proses pendaftaran selesai.
“Calon yang berjaya dalam ambilan kedua akan diumumkan pada 10 Jun ini.
“Kami menjangkakan jumlah penerimaan tawaran akan mencapai sasaran kerana masih ramai pelajar membuat rayuan untuk mengikuti Program Matrikulasi,” katanya.
Menurutnya, antara faktor utama mendorong permintaan tinggi terhadap Program Matrikulasi ialah laluan pantas ke universiti serta peluang kemasukan secara terus ke 59 universiti antarabangsa berprestij.
Katanya, program itu turut menawarkan yuran pengajian dan penginapan secara percuma selain bantuan kewangan sebanyak RM2,500 setahun kepada pelajar yang layak.
“Selain itu, kadar kebolehpasaran lepasan matrikulasi yang tinggi untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama turut menjadi faktor utama program itu terus mendapat sambutan.
“Pada masa sama, penawaran Program Pelajar Cemerlang di bawah Skim Latihan Tenaga Pengajar Program Matrikulasi ke universiti dalam dan luar negara juga membuka lebih banyak peluang kepada pelajar berprestasi tinggi,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat juga sebahagian pelajar yang memilih laluan lain selepas menerima tawaran matrikulasi termasuk menyambung pengajian di universiti awam, menerima biasiswa ke institusi dalam dan luar negara, mengikuti pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau meneruskan pengajian ke Tingkatan Enam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




