Wakil Duta AS pernah tanya Hadi Awang nama calon PM

Kota Bharu: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan wakil Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pernah bertanya kepadanya mengenai calon Perdana Menteri yang dicadangkan parti berkenaan ketika pertemuan di Kedutaan AS di Malaysia.

Abdul Hadi berkata, pertanyaan berhubung calon Perdana Menteri dikemukakan kepadanya selepas dua pimpinan utama PAS iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terlebih dahulu mengadakan pertemuan dengan duta berkenaan.

“Dia tanya, ‘Siapa PAS cadang jadi Perdana Menteri?’

“Saya kata, ‘Siapa Amerika setuju?’

“Pertemuan itu berlaku ketika PAS masih bersama parti lain dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) ketika lawatan Presiden AS, Barack Obama ke Malaysia,” katanya ketika sesi penggulungan sempena Muktamar PAS ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Takiyuddin dan Samsuri yang pada ketika itu adalah Ketua Politiknya pergi ke Kedutaan AS untuk bertemu Duta AS selepas pertemuan itu diatur.

Abdul Hadi mendakwa, dalam pertemuan itu, kedua-dua pimpinan utama PAS dimaklumkan mengenai kemungkinan untuk menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih pemerintahan, selain mendakwa AS bersedia membantu usaha berkenaan.

“Bagaimanapun, Takiyuddin dan Samsuri kekal istiqamah serta tidak terpengaruh dengan tawaran berkenaan. Dua-dua orang kita ini istiqamah. Tak terpengaruh,” katanya.

Beliau berkata, selepas itu Duta AS meminta untuk bertemu dengannya dan beliau hadir bersama Datuk Mustafa Ali.

Menurutnya, ketika pertemuan berkenaan, beliau tidak menganggap persoalan mengenai calon Perdana Menteri sebagai perkara utama kerana ia hanya perlu diputuskan apabila tiba masanya.

“Pada waktu itu, pihak Amerika bertanya siapakah calon yang mereka sokong dan ketika itu nama Tun Dr Mahathir Mohamad disebut serta mendapat respons positif daripada pihak berkenaan.

“Saya cerita kata Mahathir. Mahathir kata bagus, jawabnya. Bagus..Yang nak sibuk-sibuk pasal siapa dia. Bila tiba masa, adalah. Yang penting, kita buat kerja. Ini yang penting.

“Kita selesaikan perpecahan, selesaikan krisis. Balik buat kerja, balik jalankan tugas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top