DPMM perlu baiki kelemahan

JOHOR BAHRU: DPMM FC enggan menjadikan kekangan latihan sebagai alasan susulan kekalahan 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini semalam.

Penolong jurulatih DPMM, Helme Panjang berkata, barisan pemain sudah menunjukkan disiplin permainan yang tinggi ketika bertahan namun kesilapan kecil membuka ruang kepada Harimau Selatan untuk mencipta gol pembukaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki, khususnya daripada segi penguasaan bola (ball possession) serta disiplin ketika bertahan mahupun menyerang.

“Kita bermula dengan baik menyekat JDT daripada menjaringkan gol, kita juga berupaya mengehadkan jumlah jaringan dihasilkan oleh juara bertahan, sekali gus memperlihatkan peningkatan berbanding musim terdahulu.

“Diharapkan pada masa akan datang, pemain akan lebih fokus dan berhati-hati apabila bertemu pasukan kuat untuk mencipta peluang serta menjaringkan gol,” katanya.

Mengulas mengenai persediaan perlawanan itu, beliau tidak menafikan pasukan berdepan cabaran berikutan terpaksa menjalani latihan di dalam dewan sebelum turun beraksi di gelanggang lawan.

Katanya, faktor menukar venue perlawanan saat akhir juga memberi kesan setelah pasukan beraksi dengan lebih baik di depan ribuan penyokong sendiri.

Bagaimanapun, beliau meluahkan rasa puas hati terhadap kombinasi pemain import baharu dan tonggak tempatan dari Malaysia yang dilihat semakin serasi selepas mengharungi tiga perlawanan liga.

“Jika dibandingkan dengan musim lepas, pemain-pemain yang ditandatangani musim ini lebih berkualiti. Persediaan pra-musim di Bandung, Indonesia juga menjadikan pasukan lebih bersedia.

“Alhamdulillah, ada peningkatan daripada pemain import dan tempatan. Kita harap perlawanan keempat nanti keputusan akan lebih baik dan memihak kepada DPMM FC,” jelasnya.

Scroll to Top