Impian Hakim Danish berkecai di Hungary

Impian Hakim Danish berkecai di Hungary

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Nasib tidak menyebelahi pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli apabila gagal menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Hungary selepas terpaksa menarik diri (DNF) pada pusingan ke-12 di Litar Balaton Park, hari ini.

Hakim yang mewakili pasukan AEON Credit MT Helmets MSI sebelum itu terbabit dalam insiden kemalangan seawal pusingan pertama apabila dilanggar dari belakang oleh pelumba Afrika Selatan, Ruche Moodley.

Insiden berkenaan menyebabkan pelumba kelahiran Terengganu itu tercicir jauh dari kelompok utama dan kehilangan banyak masa berharga dalam perlumbaan.

Bagaimanapun, Hakim tidak terus mengibarkan bendera putih apabila berjaya kembali ke trek untuk meneruskan saingan meskipun berdepan kesukaran selepas kemalangan terbabit.

Pelumba berusia 18 tahun itu menunjukkan semangat juang tinggi apabila terus memacu jenteranya walaupun ketinggalan sehingga tiga pusingan berbanding kelompok pendahulu.

Namun selepas berjuang selama beberapa pusingan, Hakim akhirnya terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal pada pusingan ke-12 dan diklasifikasikan sebagai tidak menamatkan perlumbaan (DNF).

Keputusan itu pastinya mengecewakan selepas beliau sebelum ini berusaha keras sepanjang hujung minggu perlumbaan untuk menyesuaikan diri dengan ciri-ciri litar baharu di Hungary.

Semalam, Hakim gagal melayakkan diri ke sesi kelayakan kedua (Q2) selepas menamatkan saingan Q1 di kedudukan kelima, sekali gus memaksanya memulakan perlumbaan dari petak ke-19.

Walaupun pulang tanpa sebarang mata, semangat juang yang dipamerkan Hakim tetap wajar diberikan pujian apabila enggan mengalah selepas terbabit dalam kemalangan pada awal perlumbaan.

Tindakan beliau untuk bangkit semula dan kembali ke trek meskipun berdepan defisit besar menunjukkan karakter sebenar seorang pelumba yang tidak mudah menyerah kalah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top