
Ali Akbar Ahmadian. Foto PressTV.
TEHERAN – Wakil Pemimpin Tertinggi Iran dalam Majlis Pertahanan Tertinggi mengeluarkan amaran keras kepada musuh negara itu dengan menegaskan bahawa bunyi deruman yang kedengaran di ruang udara Tel Aviv adalah suara rakyat Iran.
Laksamana Muda Ali Akbar Ahmadian berkata, Iran dan rakyatnya tidak akan sesekali tunduk kepada kehendak mana-mana pihak.
“Deruman yang anda dengar di langit Tel Aviv adalah suara bangsa Iran,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, beberapa jam selepas Iran melancarkan beberapa siri serangan peluru berpandu ke wilayah Israel.
Menurut beliau, para pemimpin Republik Islam Iran dengan sokongan rakyat yang sentiasa bersiap siaga dan bantuan Ilahi akan terus berdiri teguh sehingga mencapai kemenangan.
Ahmadian yang juga bekas pegawai kanan keselamatan Iran turut memberi amaran bahawa sebarang tekanan dan ugutan yang berterusan akan dibalas dengan tindakan lebih tegas dan menghancurkan.
“Penerusan dasar tekanan dan ancaman akan menerima tindak balas yang lebih tegas serta lebih dahsyat,” katanya.
Terdahulu pada Ahad, angkatan bersenjata Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas wilayah Israel sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas Lubnan yang didakwa melanggar syarat gencatan senjata.
Sebelum ini, Iran menuntut agar semua bentuk serangan Israel terhadap kumpulan-kumpulan penentangan di rantau itu dihentikan sepenuhnya.
Teheran turut memberi amaran bahawa sebarang gencatan senjata separa yang hanya tertumpu kepada Lubnan tanpa menghentikan konflik di medan lain tidak akan diterima.-Agensi


