HTAR perjelas video tular burung merpati masuk wad, patuk bekas makanan pesakit

HTAR perjelas video tular burung merpati masuk wad, patuk bekas makanan pesakit

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) sudah mengambil tindakan susulan berhubung isu video tular berkaitan kemasukan burung merpati di wad di hospital berkenaan.

HTAR dalam kenyataan menjelaskan, terdapat burung merpati dan gagak yang menjadikan kawasan pokok di sekitar hospital sebagai habitat.

“Keadaan ini berpotensi menyebabkan burung memasuki kawasan bangunan hospital secara tidak sengaja.

“Bagi menangani perkara berkenaan, HTAR sudah melaksanakan langkah kawalan secara berkala, termasuk pemangkasan pokok oleh syarikat konsesi serta pemantauan berterusan di kawasan wad dan bangunan hospital.

“Selain itu, HTAR turut mendapatkan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memperkukuh usaha mengawal gangguan burung di kawasan hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut HTAR, pihaknya memandang serius perkara itu dan komited untuk memastikan persekitaran hospital sentiasa selamat, bersih dan kondusif demi kesejahteraan pesakit, pelawat serta warga kerja hospital.

“Semua langkah yang bersesuaian akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan risiko kejadian seumpama ini berulang,” katanya.

Terdahulu, tular satu video di Threads yang memaparkan beberapa burung berada di dalam wad pesakit termasuk mematuk bekas makanan pesakit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top