'Datuk Rosyam pujuk buat comeback'

'Datuk Rosyam pujuk buat comeback'

am@hmetro.com.my

SEBAGAI pelakon berpengalaman, Rita Rudaini, 50, mengakui dirinya sangat selektif dari segi naskhah yang ditawarkan ketika ini.

Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar mengakui setiap kali menerima tawaran dia akan meneliti dari segi skrip, watak, pengarah dan barisan pelakon terbabit terlebih dahulu.

“Kalau orang tak kenal mungkin ingat saya berlagak sombong, tetapi mungkin sebab pengalaman yang sudah ditimba turut mematangkan diri sebagai anak seni.

“Memang saya tak fikir soal duit atau bayaran pun sebab saya mahu tengok naskhahnya terlebih dahulu,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi drama lakonannya berjudul Jiwa Seorang Pentaksub pula, kata Rita, ia adalah projek drama terkini pada tahun ini.

Dalam drama bersiri untuk Slot Samarinda TV3 itu, Rita berganding dengan pelakon senior, Datuk Rosyam Nor selaku teraju utamanya.

“Abang Rosyam yang hubungi dan pujuk saya untuk buat ‘comeback’ (penampilan semula) dalam projek drama bersiri ini pada Oktober tahun lalu. Dia maklumkan cerita itu menarik untuk gandingan kami berdua.

“Jika nak diikutkan saya sudah malas nak masuk ke set drama bersiri sebab sudah seronok buat program Travelogue bersama TVS. Kalau projek Telemovie saya okay lagi.

“Selepas baca sinopsis dan tengok watak ditawarkan, saya dapati cerita itu berat tapi macam menarik dan akhirnya saya terima tawaran untuk buat cerita itu pada Ramadan lalu,” kata ibu tunggal dua cahaya mata ini.

Ditanya gandingan dengan Rosyam, Rita akui pelakon senior itu antara hero yang dia serasi untuk bekerjasama sejak dulu.

“Abang Rosyam antara hero yang saya mudah ada ‘chemistry’ dan paling diingati peminat. Selain Rosyam ialah pelakon Adi Putra.

“Sebagai hero, abang Rosyam sangat membantu gandingannya di set. Kalau kita berganding dengannya dia mahu kita sama-sama naik dan kalau dia terlebih, dia akan turunkan tahap lakonannya supaya sama tahap dengan kita walaupun lakonannya sangat hebat,” katanya yang sudah berganding buat kali keenam dengan Rosyam dalam drama.

Mengenai babak pula, kata Rita, paling susah adalah untuk melakonkan babak romantik dalam drama bersiri itu.

“Kalau dulu babak romantik adalah ‘makanan’ saya tapi selepas memiliki dua anak, saya sudah lama tinggalkan babak sebegitu.

“Selepas ada anak, saya berasa kekok untuk lakonkan babak romantik tapi sebagai pelakon kita kena profesional di mana abang Rosyam dan pengarah juga sangat membantu di set,” katanya.

Sedia menanti komen penonton

Sebagai pelakon, Rita akui sudah sedia dan terbuka jika drama lakonannya itu mendapat kecaman dari netizen.

Katanya, sebagai pelakon, kritikan dan kecaman adalah perkara biasa dalam industri hiburan.

“Sebenarnya, pada episod pertama drama bersiri Jiwa Seorang Pentaksub bersiaran di TV sudah kena kecam di Facebook.

“Saya tiada akaun Facebook tapi saya dapat tahu macam-macam orang kecam mengenai drama itu termasuk di Threads.

“Tapi, orang yang kecam drama itu kena tengok perkara itu dari sudut positif, contohnya, kalau dialog yang sebut katil, jika orang yang berfikiran negatif akan fikir katil ke arah benda yang tak elok tapi dalam drama Jiwa Seorang Pentaksub, ada mesej yang nak disampaikan menerusi watak Firzan itu,” katanya.

Kata Rita lagi, mesej yang mahu disampaikan dalam drama bersiri Jiwa Seorang Pentaksub adalah realiti perkara yang terjadi di sekeliling kita sejak dulu dan kini.

“Dalam cerita Jiwa Seorang Pentaksub, orang yang ada duit dan kuasa, dia boleh buat apa saja, dia boleh beli orang dengan duit dan bila sudah ada kuasa sebagai ahli politik, dia boleh buat orang sesuka hati macam watak Firzan ini.

“Watak Suri lakonan saya pula isteri orang yang ada skandal dengan suami orang. Jangan cakap cerita seperti ini jijiklah atau janganlah terkejut sangat tengok cerita seperti ini sedangkan kita tahu perkara ini berlaku di sekeliling tapi kita masih nak menafikannya?

“Saya tak marah pun orang nak kecam watak Suri sebab saya pun sudah berusia dan cuma nak visualkan watak itu. Watak Suri adalah isteri dan ibu yang sudah ada anak besar tapi ada skandal,” katanya.

Mengulas kecaman lagi, kata Rita, dia tampil mempertahankan Rosyam kerana menganggap kecaman yang diterimanya itu sangat teruk.

“Ada yang kecam abang Rosyam cakap dia sudah tua dan jijik untuk bawa watak macam Firzan itu. Takkan pengarah nak bagi watak Firzan pada pelakon muda umur 20-an seperti Meerqeen atau Fattah Amin?

“Bagi saya, orang tak faham watak Firzan dalam drama bersiri itu adalah ahli politik yang sudah berumur dan ada anak yang sudah besar. Watak Firzan memang lelaki tua yang gatal dan jahat. Kecam lah watak Firzan bukannya abang Rosyam sebab dia seorang yang serius dan kelakar bila di luar set,” katanya.

Drama bersiri Jiwa Seorang Pentaksub bersiaran di slot Samarinda TV3 setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3, mulai 1 Jun lalu.

Drama 25 episod arahan Nur Ain Sharif dan terbitan Suhan Movies ini turut dibintangi Sophia Albarakbah, Shahz Jaszle, Ady Mohammad dan Ariff Idrus.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top