am@hmetro.com.my
Segamat bukan sahaja terkenal sebagai syurga raja buah, durian, yang menjadi kebanggaan Johor, malah daerah itu turut menyimpan khazanah sejarah yang masih utuh merentasi zaman.
Di tengah bandar Segamat, berdiri megah Jambatan Keretapi Besi Segamat berusia lebih satu abad yang dahulunya laluan penting pengangkutan rel negara.
Ia kini menjadi tarikan pelancongan yang semakin mendapat perhatian ramai.
Terletak berhampiran Stesen Kereta Api Segamat, jambatan ikonik itu menjadi antara mercu tanda daerah berkenaan dan masih kekal utuh sejak awal abad ke-20.
Tidak ramai mengetahui bahawa Segamat pernah menjadi saksi kepada detik penting dalam sejarah pengangkutan negara.
Pada 1 Julai 1909, Stesen Kereta Api Segamat menjadi lokasi upacara pelancaran perkhidmatan pertama ‘Johor State Railways’ (JSR) selepas pembinaan landasan kereta api di Johor siap sepenuhnya sehari sebelumnya.
Peristiwa itu melengkapkan jaringan rel negeri berkenaan dari sempadan Negeri Sembilan dan menghubungkannya terus dengan laluan kereta api utara-selatan, sekali gus membuka lembaran baharu kepada sistem pengangkutan dan perdagangan di Tanah Melayu ketika itu.
Lebih satu abad kemudian, jambatan besi yang masih berdiri berhampiran stesen berkenaan terus menjadi saksi bisu kepada perubahan landskap Segamat dan negara.
Struktur besi itu memperlihatkan kehebatan teknologi pembinaan pada zamannya, selain menjadi tinggalan warisan bernilai tinggi di daerah berkenaan.
Keunikan reka bentuknya turut menjadikan lokasi itu tarikan pengunjung, termasuk peminat sejarah, jurugambar dan pelancong yang ingin melihat sendiri peninggalan lebih 100 tahun berkenaan.
Seiring perkembangan era media sosial, kawasan sekitar jambatan itu turut menjadi lokasi popular dalam kalangan generasi muda untuk menghasilkan kandungan kreatif dan rakaman ‘outfit of the day’ (OOTD).
Tidak kurang juga pasangan pengantin yang memilih lokasi itu untuk sesi fotografi pra-perkahwinan dan perkahwinan kerana elemen warisan serta latar klasiknya.
Bagi penduduk tempatan, jambatan itu mempunyai nilai sentimental kerana menjadi sebahagian daripada sejarah dan identiti Segamat, selain pernah menyaksikan peranan kereta api dalam menghubungkan masyarakat serta merancakkan ekonomi setempat.
Pada 27 November 2023, kerja naik taraf Jambatan Keretapi Besi Segamat berjaya disiapkan, sekali gus memberi nafas baharu kepada struktur bersejarah itu.
Majlis Perbandaran Segamat (MPS) turut merancang menjadikan lokasi berkenaan sebagai pusat pelancongan sejarah bagi mengangkat nilai warisan daerah berkenaan.
Daripada laluan kereta api yang pernah menjadi nadi pengangkutan, Jambatan Keretapi Besi Segamat kini muncul sebagai simbol warisan yang menghubungkan sejarah, pelancongan dan generasi baharu di satu lokasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




