7 mengaku salah merusuh di akademi memandu

7 mengaku salah merusuh di akademi memandu

am@hmetro.com.my

Tumpat: Tujuh individu termasuk seorang wanita didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit dalam rusuhan di akademi memandu di Kampung Berangan, bulan lalu.

Muhammad Alif Hakimi Abd Hamid, 22; Muhammad Izzat Romli, 25; Ahmad Faizal Juhari, 35; Nor Hasida Mamat, 38; Mohd Azaki Mamat, 42; Azli Mamat, 48, dan Mohd Khadri Ghani, 52, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Ashrul Afham Mohamad Azmi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menjadi ahli satu kumpulan yang menyalahi undang-undang dan menggunakan kekerasan dalam menjalankan tujuan bersama kumpulan berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan jam 4.30 petang di akademi memandu di Kampung Berangan pada 24 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahfuzah Hamizah Mohd Ariff, manakala semua tertuduh diwakili peguam, Shamsul Baharin Abdullah.

Terdahulu, Mahfuzah memohon supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap kesemua tertuduh, manakala Shamsul Baharin memohon hukuman minimum dikenakan dengan mengambil kira semua tertuduh memberi kerjasama, sudah insaf selain perbuatan itu adalah kesalahan pertama mereka.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau enam bulan penjara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top