puterialia@hmetro.com.my
Subang Jaya: Menyedari dunia hiburan tidak selamanya manis dan indah, penyanyi meningkat naik, Marsya Qistina mengakui sudah mempersiapkan mental dan fizikalnya untuk berdepan dengan pelbagai ragam netizen termasuk kecaman.
Marsya, 23, yang kini memulakan langkah secara rasmi sebagai penyanyi, berkata dia memilih untuk menjadi diri sendiri dan enggan melatah sekiranya gerak-gerinya menjadi bahan hakiman masyarakat.
“Apa yang saya boleh cakap, saya hanya perlu jadi diri sendiri. Kalau di media sosial pula, saya kena fikir dua tiga kali sebelum memuat naik sesuatu.
“Saya akan berbincang dengan mama, ayah dan kawan-kawan dahulu. Jika perkara itu sesuai (untuk dimuat naik di media sosial), baru saya akan kongsikan apa yang saya rasa,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.
Mengulas mengenai kritikan atau komen negatif yang sering dilemparkan oleh netizen di platform digital, Marsya menyifatkan perkara itu sebagai hak masing-masing.
“Kalau netizen nak cakap buruk atau apa sahaja, itu adalah pendapat mereka sendiri. Saya tiada hak untuk cakap ‘mana ada, saya tak macam ini’.
“Semua orang berhak atas pendapat masing-masing. Jadi, tidak mengapalah, cakaplah. Saya pun akan terima dan perbaiki diri di masa akan datang, Insya-Allah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keyakinannya mempertaruhkan lagu bergenre balada yang sarat dengan emosi berbanding trend semasa yang lebih memihak kepada lagu-lagu rancak dan cepat tular, Marsya berkata dia mempunyai strateginya tersendiri.
Menurut anak sulung kepada penyanyi, Liza Hanim ini, dia sedar bahawa lagu bergenre rancak bukanlah kekuatan utamanya buat masa ini.
“Buat masa sekarang, fokus dan matlamat utama saya adalah untuk mengukuhkan nama saya terlebih dahulu, selain memperkenalkan genre muzik yang mampu saya bawakan.
“Mungkin pada masa hadapan saya akan cuba meneroka ke arah lagu-lagu yang lebih ‘catchy’. Tetapi untuk waktu ini, biarlah saya fokus kepada lagu balada dahulu,” kongsinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




