Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan penamatan kerjasama politik antara PAS dan BERSATU sebagai satu pengajaran penting kepada semua pihak mengenai kepentingan keikhlasan dalam sesebuah gabungan politik.
Sudah jangka ia terjadi
Memetik laporan daripada Astro Awani, beliau menyatakan perkembangan itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pihaknya telah menjangkakan situasi tersebut akan berlaku berdasarkan pemerhatian terhadap landskap politik semasa.
“Kami telah menjangkakan perkara ini akan berlaku. Kita bukan mendahului hukum Allah, tetapi ini merupakan satu telahan dari sudut pandang politik.
“Sebarang kolaborasi mesti dilingkungi dengan penuh keikhlasan dan tidak ada unsur pengkhianatan di dalamnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Sambutan Hari Pendidik peringkat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Jadikan pengajaran untuk masa depan
Ahmad Zahid menambah, krisis yang berlaku antara kedua-dua parti itu perlu dijadikan iktibar dalam membentuk kerjasama politik yang lebih kukuh pada masa hadapan.
“Ini merupakan satu ibrah atau pengajaran bahawa sebarang kolaborasi mesti tidak hanya dipegang dan bersandarkan kepada sudut pandang politik, tetapi harus dilihat dari segi pembangunan dan kesatuan sebuah negara bangsa.
“Ianya mesti dibuat untuk satu jangka masa yang panjang agar matlamat negara dapat dicapai, penyatuan anak bangsa dapat dilakukan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sesebuah kerjasama politik tidak hanya bergantung kepada perjanjian atau bai’ah yang dimeterai semata-mata.
“Saya harap jika ada pun langkah-langkah yang akan dilakukan selepas ini, ia mesti bukan hanya penandatanganan di atas kertas.
“Tetapi lebih penting adalah keikhlasan yang harus diterjemahkan untuk suatu jangka panjang dan berkekalan,” katanya.

Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan BERSATU selepas meneliti kedudukan serta hala tuju hubungan antara kedua-dua parti berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa.
Menurut Abdul Hadi, PAS juga akan meneroka bentuk persefahaman politik baharu serta kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah pada masa akan datang.
Sumber: Astro Awani (Asyraf Malik)




