KOTA BHARU – Parti Amanah Negara (Amanah) mendakwa wujud desakan pihak tertentu untuk menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada hari bekerja bagi menyukarkan pengundi yang berada di luar negeri itu pulang menunaikan tanggungjawab mereka.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, tindakan sedemikian jika benar berlaku merupakan satu pengkhianatan terhadap hak rakyat untuk memilih kerajaan dan wakil rakyat mereka.
Menurutnya, terdapat ura-ura supaya hari pengundian diadakan pada pertengahan minggu bagi mengurangkan kehadiran pengundi luar Johor yang bekerja di Kuala Lumpur, Singapura dan negeri-negeri lain
“Ada yang dipercayai mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya supaya hari mengundi diadakan pada hari bekerja seperti Selasa atau Rabu supaya mereka yang bekerja di luar Johor sukar untuk pulang mengundi.
“Jika perkara itu berlaku, ia merupakan satu pengkhianatan terhadap rakyat yang mempunyai hak untuk memilih kerajaan dan wakil rakyat mereka,” katanya.
Khalid yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Pagi Pengerusi Bersama Warga Kada di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Kada di sini pada Selasa.
Beliau mendakwa langkah sedemikian mampu memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) kerana sebahagian pengundi luar negeri dilihat mempunyai kecenderungan politik yang berbeza berbanding pengundi yang menetap di Johor.
Menurutnya, golongan tersebut lebih terdedah kepada pengalaman dan perkembangan politik di negeri serta negara lain yang boleh mempengaruhi corak pengundian mereka.
“Kami harap perkara itu tidak berlaku, namun ada tanda-tanda ke arah itu kerana BN dilihat terdesak untuk mempertahankan kedudukan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid menegaskan Pakatan Harapan (PH) memasuki PRN Johor dengan matlamat untuk membentuk kerajaan negeri dan bukannya sekadar menjadi pembangkang yang kuat.
Katanya, seluruh jentera Amanah sudah diarahkan memperkukuhkan organisasi dan mempergiatkan aktiviti parti bagi membantu kemenangan semua calon PH tanpa mengira parti yang bertanding.
“Kami sebahagian daripada PH dan beranggungjawab memenangkan calon-calon PH sama ada daripada Amanah, Parti Keadilan Rakyat atau DAP.
“Kami masuk PRN Johor bukan untuk menjadi pembangkang yang kuat tetapi untuk menjadi kerajaan,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan perbincangan awal, Amanah dijangka bertanding antara 18 hingga 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor daripada keseluruhan 56 kerusi yang dipertandingkan.
Katanya, PKR dijangka bertanding sekitar jumlah yang sama manakala DAP antara 14 hingga 16 kerusi.
Mengulas peluang PH pada pilihan raya berkenaan, Khalid berkata, peluang gabungan itu sentiasa terbuka namun kejayaannya banyak bergantung kepada kekuatan jentera dan usaha sepanjang tempoh kempen.
“Peluang sentiasa cerah, namun yang penting sekarang ialah memastikan seluruh jentera PH bersedia dan bekerja sebagai satu pasukan untuk meyakinkan rakyat bahawa kami mampu menawarkan pentadbiran yang lebih baik,” katanya.



