Pemandu maut kemalangan dengan lori tangki

Pemandu maut kemalangan dengan lori tangki

mdroji@bh.com.my

Kuching: Lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Simpang Punda, Simunjan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.45 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan di lokasi, didapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah kenderaan pacuan empat roda dan lori tangki minyak.

“Seorang mangsa didapati masih berada di dalam kenderaan pacuan empat roda berkenaan dan disahkan meninggal dunia, namun identitinya belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari kenderaan dengan menggunakan pengusung.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top