firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican muncul sebagai nama terbaharu yang dikaitkan untuk mengisi jawatan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang bakal dikosongkan Datuk Ab Ghani Hassan.
Menurut sumber, nama Reezal Merican kini turut disebut sebagai antara calon yang berpotensi mengisi kerusi nombor satu badan pengelola Liga Malaysia itu selepas Ab Ghani dijangka meletakkan jawatan bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugasnya sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Reezal Merican bekas Menteri Sukan, jadi beliau calon layak dipertimbangkan kerana memiliki pengetahuan luas sukan negara. Ia termasuk bola sepak di mana ketika beliau menjadi Menteri banyak usaha dilakukan dalam membantu FAM dan MFL,” kata sumber.
Ab Ghani dijangka memaklumkan peletakan jawatannya dalam Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM bagi penggal 2025-2029 yang dijadualkan berlangsung esok.
Mesyuarat itu juga bakal menjadi yang pertama dipengerusikan Ab Ghani selaku Presiden baharu FAM selepas beliau dipilih pada Kongres Luar Biasa Kedua FAM 2026, 17 September lalu.
Ab Ghani sebelum ini mengesahkan beliau akan meninggalkan jawatan Presiden MFL bagi membolehkan tumpuan diberikan sepenuhnya kepada FAM, khususnya dalam usaha melaksanakan pembaharuan dan memulihkan keyakinan pemegang taruh serta penyokong terhadap badan induk bola sepak negara.
Perkembangan terbaharu itu menyaksikan Reezal Merican menjadi nama tambahan dalam senarai individu yang sebelum ini dikaitkan dengan kerusi berkenaan, termasuk pemilik dan Presiden Melaka FC, Datuk Nur Azmi Ahmad; bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL dan bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Stuart Ramalingam serta bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
Nama Nur Azmi sebelum ini mendapat sokongan terbuka Pengerusi Kuala Lumpur City FC (KL City), Syed Yazid Syed Omar, manakala Stuart turut disebut sebagai calon yang berpotensi kembali menerajui MFL.
Yusoff pula bukan nama asing dalam pentadbiran bola sepak negara apabila pernah memegang jawatan Timbalan Presiden FAM dan beberapa jawatan kanan dalam badan induk itu, selain pernah mengetuai Liga Bolasepak Amatur (AFL).
Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada nama berkenaan disahkan sebagai pengganti Ab Ghani setakat ini.
Ini kerana Ab Ghani sebelum ini menegaskan pelantikan Presiden MFL baharu bukan melalui proses pemilihan seperti Kongres FAM, sebaliknya menjadi hak Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk menentukan atau menamakan individu yang bakal menerajui badan itu.
Malah, Ab Ghani sebelum ini mengakui sudah mempunyai bayangan mengenai calon penggantinya, namun menegaskan perkara itu perlu dibincangkan dan diputuskan terlebih dahulu oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.
Kerusi Presiden MFL menjadi kosong selepas Ab Ghani memilih untuk tidak memegang dua jawatan utama itu terlalu lama susulan pemilihannya sebagai Presiden FAM bagi baki penggal 2025-2029.
Beliau dipilih dengan memperoleh 20 undi untuk menewaskan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar yang meraih lima undi pada Kongres Luar Biasa Kedua FAM 2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd




