Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhd. Akmal Saleh menegaskan perbincangan mengenai penyatuan Melayu-Islam tidak seharusnya tertumpu kepada penggunaan sesuatu nama semata-mata, sebaliknya perlu memberi keutamaan kepada kesepakatan serta matlamat yang ingin dicapai bersama.
Beliau berkata, sebarang usaha untuk menyatukan orang Melayu dan umat Islam boleh dilaksanakan melalui pelbagai platform tanpa perlu terikat kepada mana-mana jenama politik tertentu.
“Penyatuan melayu islam ini tidak semestinya menggunakan nama ‘muafakat nasional’ kerana penyatuan boleh sahaja menggunakan apa sahaja nama.
“Lagi-lagi apabila nama muafakat nasional itu sendiri telah didaftarkan di bawah nama NGO dan milik orang lain.
“Nama itu tidak penting,tetapi apa yang lebih penting persefahaman,tujuan dan halatuju penyatuan melayu islam itu,” katanya.

Menurut Akmal, kekuatan sesebuah kerjasama politik atau gerakan masyarakat bergantung kepada kesediaan semua pihak untuk mencapai persefahaman dan bergerak ke arah tujuan yang sama.
Kenyataan itu dilihat sebagai respons terhadap perdebatan berhubung wadah paling sesuai untuk menghimpunkan kekuatan politik dan suara Melayu-Islam ketika landskap politik negara terus menyaksikan pelbagai perubahan.
Beliau berpandangan, fokus terhadap perkara yang bersifat teknikal atau simbolik tidak sepatutnya mengatasi keperluan untuk membina kesepakatan yang mampu memberi manfaat kepada kelompok yang ingin diwakili.
Sumber: FB Akmal Saleh




