suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sudah mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk mengeluarkan notis terhadap struktur binaan di Sungai Tekali, Hulu Langat yang tular di media sosial selepas disahkan dibina tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).
MPKj dalam kenyataannya memaklumkan, semakan mendapati pembinaan berkenaan membabitkan Lot 217, Lot 218 dan sebahagian tanah kerajaan (rizab sungai) bersebelahan Kampung Kenangan 18, Sungai Tekali, Mukim Hulu Langat.
Katanya, merujuk Rancangan Tempatan MPKj Selangor 2035 (Pengubahan 2) tapak dizonkan untuk kegunaan perumahan.
“Selain itu, tiada sebarang permohonan yang dikemukakan melalui Sistem One Stop Centre (OSC) 3.0 Plus Online MPKj yang membabitkan Kebenaran Merancang, Pelan Infrastruktur dan Pelan Bangunan bagi apa-apa pembinaan di kawasan itu.
“Secara ringkasnya, pembinaan bangunan di lokasi tersebut dijalankan tanpa kelulusan MPKj,” katanya dalam kenyataan itu, malam ini.
Menurut MPKj, pihaknya sudah menjalankan operasi penguatkuasaan bersama agensi berkaitan dan mengeluarkan notis serta arahan mengikut peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).
Dalam kenyataan sama, MPKj berkata, lawatan di kawasan aduan juga disertai MPKj di bawah kendalian Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat (PDTHL) dan pihaknya akan mengambil tindakan selanjutnya mengikut arahan yang diputuskan.
“Di samping itu, MPKj ingin menegaskan bahawa MPKj sentiasa bersama-sama dengan agensi kerajaan yang berkaitan untuk mengambil tindakan yang tegas ke atas sebarang salah laku dan pelanggaran undang-undang dalam kawasan pentadbiran MPKj,” katanya.
Dalam pada itu, MPKj mengucapkan terima kasih atas keprihatinan semua pihak dalam membangkitkan isu ini.
Terdahulu Harian Metro melaporkan, etnik Rohingya didakwa membina kediaman seakan flat empat tingkat secara tidak sah di kawasan terpencil di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.
Pendedahan itu dilakukan penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin, 50, atau dikenali Pak Azad yang secara kebetulan melalui jalan terbabit sebelum merakam video memaparkan keadaan flat yang mencurigakan.
Berita berkaitan
• Pemilik tanah yang benarkan komuniti Rohingya bina flat dan tinggal di situ
• Flat haram dihuni etnik Rohingya pernah diserbu tahun lalu – Polis
• Sewa RM600 hingga RM700 sebulan
© New Straits Times Press (M) Bhd




