Putrajaya: Lebih banyak kemudahan pengurang kelajuan atau bonggol jalan perlu dipasang di laluan Genting Highlands bagi mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, kata Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau berkata, perhatian khusus terhadap langkah mengurangkan kelajuan kenderaan dan mengurangkan risiko kemalangan perlu diberikan di kawasan kritikal, terutama di laluan keluar masuk utama pusat peranginan itu.
“Terdapat keperluan mendesak untuk menyemak semula dan menyegerakan pelaksanaan lebih banyak langkah pemantauan berteknologi bagi meningkatkan tahap pengurusan keselamatan jalan raya,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan berhubung kemalangan bas persiaran di Genting Highlands.
Mesyuarat itu membincangkan perkembangan siasatan kemalangan berkenaan bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), PUSPAKOM serta agensi berkaitan, di samping merangka langkah susulan bagi memperkukuh pengurusan keselamatan kenderaan pelancongan.
Tiong berkata, JPJ sebelum ini pernah mencadangkan pemasangan kemudahan perangkap laju di laluan berkenaan, namun cadangan itu belum dapat dilaksanakan kerana jalan tersebut merupakan laluan persendirian.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa walaupun laluan itu diklasifikasikan sebagai hak milik dan diuruskan secara persendirian, ia tetap melibatkan keselamatan pelancong serta pengguna jalan raya awam.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap pihak pengurusan Genting Highlands dapat memberikan kerjasama kepada kerajaan dan agensi penguat kuasa dalam melaksanakan penambahbaikan keselamatan demi kepentingan awam serta atas semangat tanggungjawab sosial korporat.
“Melindungi keselamatan pelancong, menjaga reputasi pelancongan negara dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan pelancongan adalah tanggungjawab bersama.
“Kita mesti berorientasikan hasil, sentiasa proaktif dalam mengesan dan menyelesaikan kelemahan, bukannya membiarkan masalah yang sama terus berulang,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pengurusan Genting Highlands bagi mendapatkan gambaran lebih terperinci mengenai status pengurusan keselamatan jalan raya di pusat peranginan itu ketika ini.
Menyentuh isu pengurusan kenderaan pelancongan, Tiong berkata sebarang pelanggaran yang melibatkan keselamatan awam tidak boleh dipandang ringan.
“Sekiranya masalah dibiarkan berlarutan untuk jangka masa yang panjang tanpa sebarang pembetulan segera, maka sistem itu sendiri yang harus dikaji semula,” katanya.
Beliau berkata, kemalangan yang melibatkan dua bas serta sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di KM15 Jalan Turun Genting Highlands-Genting Sempah pada 30 Mei lepas turut membangkitkan kepentingan untuk memperkukuh kawal selia kenderaan pelancongan, penapisan latar belakang pemandu serta mekanisme penguatkuasaan keselamatan jalan raya.
“Keselamatan pengangkutan pelancongan bukan sahaja melibatkan nyawa penumpang, malah memberikan kesan langsung kepada imej pelancongan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




