Kuala Lumpur: Industri pengeluaran jersi rasmi bola sepak tempatan kini berdepan tekanan serius apabila jualan dilaporkan merosot mendadak dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, dengan anggaran kerugian keseluruhan mencecah lebih RM10 juta setahun.
Situasi itu dipercayai berpunca daripada lambakan jersi tiruan di pasaran yang menjejaskan permintaan terhadap produk rasmi pasukan, sekali gus mengganggu keseluruhan rantaian ekonomi sukan.
Pengedar utama jersi tempatan, Kaki Jersi (KJ) mendakwa keadaan ini bukan sahaja menjejaskan keuntungan, malah memberi kesan kepada komitmen mereka terhadap pasukan yang ditaja.
Pengarahnya, Nik M Iqbal Nik Ibrahim berkata, jualan yang dahulunya boleh mencecah sekitar 50,000 helai sebulan kini merosot ketara kepada kurang 10,000 helai sebulan.
Penurunan drastik itu memberi kesan langsung terhadap kemampuan mereka menyalurkan dana tajaan kepada pasukan bola sepak, termasuk sumbangan kira-kira RM150,000 setahun bagi sesetengah kelab.
“Dulu kita boleh rancang pengeluaran dan bantuan kepada pasukan dengan lebih stabil. Sekarang keadaan terlalu sukar kerana jualan jatuh mendadak. Saya percaya rangkaian ini cukup tersusun dan pernah juga saya menangkap sendiri penjual jersi ciplak dalam talian namun setakat ini tiada tindakan susulan diambil.
“Apa saja tindakan sudah diambil termasuk melantik peguam atau mengadu kepada pihak berkaitan namun akhirnya situasi tetap sama iaitu mereka (penjual jersi ciplak) tetap jual seperti biasa,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.
Beliau turut mendakwa situasi ini sudah berlarutan sejak kira-kira lima tahun lalu, namun menjadi semakin serius sejak kebelakangan ini apabila pasaran jersi tiruan dilihat sukar dibendung.
Katanya, dalam keadaan biasa, sesebuah rangkaian pengedaran mampu menjual sehingga 50,000 helai sebulan, namun angka itu kini jauh merosot.
“Sekarang nak capai 100 helai sehari pun sudah sakit. Permintaan masih ada, tetapi kebanyakannya sudah beralih kepada versi tiruan yang jauh lebih murah,” katanya.
Situasi ini memberi gambaran jelas bagaimana pasaran gelap jersi tiruan bukan sahaja menjejaskan jenama rasmi kelab, malah turut mengganggu rantaian ekonomi sukan yang bergantung kepada jualan ‘merchandise’ (barang dagangan) sebagai sumber pendapatan penting.
© New Straits Times Press (M) Bhd
