PENANTIAN setahun akhirnya berbaloi buat atlet triatlon negara, Muhammad Rabani Hashim apabila berjaya menebus kekecewaan lalu dengan menjuarai acara utama 113 Triathlon sempena Festival Multisukan Perak 2026 di Marina Island Pangkor di sini pada Ahad.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Rabani selepas sekadar muncul naib juara pada edisi terdahulu, sekali gus membuktikan usaha berterusan yang dilakukan sepanjang tempoh setahun berjaya membuahkan hasil.
Atlet berusia 32 tahun yang aktif menyertai siri perlumbaan IRONMAN itu mencatat masa 5 jam 8 minit 43 saat (s) untuk muncul juara kategori lelaki keseluruhan, mengatasi Abdullah Umar Idrus yang merekodkan masa 5:10:40s, manakala atlet Great Britain, Joseh Taylor, berada di tempat ketiga dengan catatan 5:22:16s.
Perlumbaan berprestij itu menuntut tahap ketahanan tinggi apabila peserta perlu menamatkan renangan sejauh dua kilometer (km) kayuhan basikal 90km dan larian 21km dalam satu perlumbaan.
Menurut Rabani, kejayaan yang diraih bukan hanya hasil latihan fizikal semata-mata, sebaliknya turut didorong kekuatan mental untuk terus bangkit selepas kegagalan meraih gelaran juara tahun lalu.
“Dalam sukan ketahanan seperti ini, bukan sahaja kekuatan fizikal yang diuji, tetapi juga mental. Setiap kilometer mengajar saya untuk terus percaya kepada proses dan tidak mudah mengalah,” katanya selepas tamat perlumbaan.
Sementara itu, atlet wanita negara, Wong Ee Va sekali lagi membuktikan keupayaannya apabila mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu selepas menamatkan perlumbaan dengan masa 5:25:48s.
Kemenangan tersebut menyaksikan beliau mengatasi pencabar dari Rusia, Elizaveta Prokhorova yang mencatat masa 6:22:05s, manakala Harum Delima Mohd Noor melengkapkan kedudukan tiga terbaik dengan masa 6:22:31s.
Ee Va berkata, mempertahankan kejuaraan memberikan cabaran yang lebih besar kerana beliau perlu memastikan tahap prestasi kekal konsisten sepanjang musim.
“Mempertahankan kejuaraan selalunya lebih sukar daripada memenanginya. Saya sangat gembira kerana segala usaha dan latihan sepanjang tahun ini membuahkan hasil,” katanya.
Dalam perkembangan sama, kategori Jarak Olimpik lelaki dimenangi Shahrom Abdullah menerusi catatan masa 2:27:25s, manakala Jacqueline Ng Siew Fong muncul juara kategori wanita selepas merekodkan masa 3:03:58s.
Sementara itu, Pengarah Perlumbaan, Toto Ong berkata, penyertaan kira-kira 1,000 atlet dari 22 negara membuktikan festival itu semakin mendapat tempat dalam kalangan komuniti sukan ketahanan antarabangsa.
“Kami berbesar hati dapat mengalu-alukan atlet dari pelbagai negara ke Marina Island Pangkor sekali lagi. Pengenalan Perak Aquathlon tahun ini membuktikan komitmen kami untuk terus mengembangkan komuniti sukan ketahanan dan menawarkan pengalaman baharu kepada peserta.
“Ada yang pulang dengan trofi, ada yang pulang dengan pingat. Tetapi bagi ramai peserta, kemenangan sebenar adalah apabila mereka berjaya menamatkan cabaran yang sebelum ini dianggap mustahil,” katanya. – end



