JPJ Kedah tahan lelaki Rohingya tunggang motosikal tanpa lesen

JPJ Kedah tahan lelaki Rohingya tunggang motosikal tanpa lesen

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Lelaki Rohingya ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah di Jalan Simpang Empat, di sini, semalam, kerana tidak memiliki lesen.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, lelaki warga asing itu ditahan Unit Penguat Kuasa Bermotosikal (Falcon) JPJ Kedah ketika dia sedang menunggu di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat di Tokai.

Beliau berkata, menyedari kehadiran pihak berkuasa, lelaki itu cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun lelaki warga asing itu berjaya ditahan dan dia memberi alasan dalam perjalanan ke pasar.

“Pemeriksaan mendapati penunggang terbabit gagal mengemukakan lesen memandu yang sah.

“Susulan kesalahan itu, tindakan penguatkuasaan sudah pun diambil mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Stien berkata, motosikal yang ditunggangi suspek turut disita dan dibawa ke Depoh Simpanan Kenderaan JPJ Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Dalam pada itu, beliau berkata, JPJ Kedah menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan raya serta menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top