puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Of course (sudah tentu) target (sasaran) saya nak jadi heroin (watak utama) dan mahu watak dilakonkan itu diingati penonton,” kata pelakon, Zalfa Zin.
Zalfa atau nama sebenarnya Norzafifah Mohd Zin, 33, yang sinonim dengan watak pembantu mengakui dia mempunyai impian dan sasaran tersendiri sepanjang bergelar anak seni.
“Sejujurnya, saya pernah menggalas watak utama sekali sahaja setakat ini. Setiap pelakon memang ada impian masing-masing, malah saya juga ada impian untuk merangkul anugerah suatu hari nanti.
“Kalau nak diikutkan, penglibatan awal saya dalam bidang lakonan ini pun hanyalah sekadar ‘bidang terjun’.
“Niat kemudian bertukar untuk mencari rezeki (duit), namun lama-kelamaan timbul rasa minat yang mendalam sehingga jatuh cinta dengan kerjaya ini,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini..
Mengulas mengenai pandangan segelintir pihak yang sering memberikan tumpuan penuh kepada watak utama berbanding watak sampingan, Zalfa tampil memperbetulkan persepsi terbabit.
Menurutnya, setiap karakter yang diwujudkan dalam sesebuah naskhah mempunyai kepentingan dan peranan yang tersendiri bagi menghidupkan jalan cerita.
“Betul, ada sesetengah cerita orang akan pandang watak utama sahaja. Tetapi sebenarnya, setiap watak yang digarap dalam cerita itu mempunyai kepentingan masing-masing. Tanpa watak pembantu, sesebuah cerita itu tidak akan menjadi.
“Apa-apa pun, saya tetap bersyukur kerana walaupun sering diberikan watak sampingan, ia tetap menjadi asbab untuk orang ramai mengenali bakat saya.
“Alhamdulillah, daripada watak sampingan itulah orang kenal saya. Walaupun tidaklah terlalu popular atau dikenali ramai, saya tetap bersyukur dan tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




