“MTC Growth Innovation Programme (MGIP) di bawah Dana Impak Khazanah Nasional telah memberikan perspektif baharu dan penyertaan kami merupakan pengalaman yang sangat bernilai.” – Afiqah Aida
SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Syarikat peringkat pertengahan atau Mid-Tier Companies (MTC) berpotensi menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara apabila menyumbang kira-kira 36 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 16 peratus kepada tenaga kerja nasional.
Walaupun angka tersebut dilihat kukuh, kebanyakan MTC masih terperangkap dalam kelompok missing middle yakni terlalu ‘mega’ untuk bergantung kepada kaedah sokongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tetapi pada masa sama, menghadapi halangan besar apabila cuba berkembang ke peringkat serantau serta global.
Realiti itu semakin mencabar dalam usaha meningkatkan skala operasi, merangkumi aspek seperti kos tinggi, tekanan produktiviti tenaga kerja, sistem yang tidak bersepadu dan kesukaran mengurus pertumbuhan secara mampan.
Pengarah Sipro Plastic Industries, Afiqah Aida Rahim berkata, “MTC Growth Innovation Programme (MGIP) di bawah Dana Impak Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) telah memberikan perspektif baharu dan penyertaan mereka merupakan pengalaman sangat bernilai.
“Khususnya dalam cara pasukan pembangunan perniagaan kami mencari pelanggan baru. Sebelum membangunkan produk, pasukan kami kini sedar kepentingan memahami keperluan sebenar pelanggan terlebih dahulu. Kadangkala, pelanggan hanya mahukan ciri ringkas yang mampu menyelesaikan masalah mereka dan memberikan nilai yang relevan.
Dana Impak memperkenalkan pendekatan berstruktur yang memfokuskan pembangunan keupayaan syarikat, modal pertumbuhan dan kesiapsiagaan penskalaan.
MGIP yang diperkenalkan di bawah Dana Impak pula bukan sekadar program latihan, tetapi juga platform transformasi kepimpinan.
Ia bertujuan membantu pengasas menilai semula model perniagaan, meningkatkan kecekapan operasi dan membuat persediaan untuk pengembangan lebih besar.
Inisiatif itu juga dilihat selari aspirasi negara dalam memperkukuh penyertaan bumiputera dalam ekonomi baharu melalui agenda PuTERA35, khususnya dalam sektor berteknologi tinggi, ekonomi digital, automasi dan ekonomi hijau.
PuTERA35 memberi penekanan kepada pertumbuhan inklusif, penyertaan teknologi, Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta pembangunan industri masa depan untuk melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera yang berdaya saing serta bersedia menghadapi perubahan ekonomi global.
Penganalisis ekonomi kebanyakannya melihat Malaysia mempunyai banyak syarikat tempatan yang berpotensi, namun kemampuan menjadi juara serantau bergantung kepada keberanian pengasas dalam memperkukuh keupayaan dalaman dan mengadaptasi model perniagaan lebih mampan.
Dalam konteks itu, Dana Impak Khazanah dilihat bukan hanya membantu merapatkan jurang pembiayaan, tetapi juga melangkau jurang keupayaan yang sering menjadi cabaran utama syarikat pertengahan tempatan untuk berkembang jauh.



