PAAB ceriakan lebih 600 warga MRSM Kuala Krai

PAAB ceriakan lebih 600 warga MRSM Kuala Krai
PAAB ceriakan lebih 600 warga MRSM Kuala Krai

Ir Jaseni (dua dari kanan) menyerahkan replika cek sumbangan peruntukan RM50,000 kepada Ismail (dua dari kiri) bagi menaik taraf kemudahan berkaitan penggunaan air di MRSM Kuala Krai menerusi program CSR Santuni MADANI.

KUALA KRAI – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menyalurkan peruntukan RM50,000 bagi menaik taraf kemudahan berkaitan penggunaan air di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Krai di sini menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Santuni MADANI.

Pengerusi PAAB, Datuk Seri Ir Jaseni Maidinsa berkata, peruntukan itu melibatkan pemasangan peranti cekap air (water-saving devices) serta pembinaan taman kelestarian yang berfungsi sebagai medium pendidikan berkaitan air dan kesedaran alam sekitar.

Menurut beliau, inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada 590 pelajar dan 86 warga sekolah berasrama penuh itu yang menggunakan bekalan air sepanjang masa.

“Program berkenaan merupakan komitmen berterusan syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan itu dalam memupuk kesedaran mengenai kepentingan pengurusan sumber air secara mampan.

“Ramai masih tidak menyedari proses kompleks yang diperlukan bagi menukar air mentah daripada sungai, tasik atau empangan kepada air bersih yang selamat digunakan mengikut piawaian KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia),” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Santuni MADANI PAAB, Forum Kesedaran Kelestarian yang diadakan di MRSM Kuala Krai di sini pada Rabu.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengetua MRSM Kuala Krai, Ismail Deraman; Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Ir Zulkiflee Omar dan Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA) Kelantan, Zahrail Affenday Mohamed.

Ir Jaseni menurunkan tandatangan pada plak sebagai simbolik perasmian taman kelestarian yang berfungsi sebagai medium pendidikan berkaitan air dan kesedaran alam sekitar di MRSM Kuala Krai pada Rabu.

Ir Jaseni menurunkan tandatangan pada plak sebagai simbolik perasmian taman kelestarian yang berfungsi sebagai medium pendidikan berkaitan air dan kesedaran alam sekitar di MRSM Kuala Krai pada Rabu.

Ujar beliau, air merupakan sumber asas yang sangat bernilai dalam kehidupan seharian, justeru usaha mendidik masyarakat khususnya golongan muda mengenai kepentingan menghargai sumber ini perlu diperkasakan.

Tambahnya, melalui program berkenaan PAAB bukan sahaja menambah baik kemudahan fizikal berkaitan air di sekolah, malah mendidik generasi muda supaya lebih menghargai setiap titis air yang digunakan.

Beliau memberitahu, amalan penjimatan air perlu diterapkan sejak di bangku sekolah agar pelajar dapat menjadi ejen perubahan dalam komuniti masing-masing.

“Sebagai sebahagian daripada inisiatif pendidikan itu, kami turut membangunkan Taman Kelestarian PAAB yang dilengkapi pelbagai elemen informasi mengenai sumber air, proses rawatan air dan kepentingan pemuliharaan alam sekitar.

“Kemudahan tersebut diwujudkan sebagai platform pembelajaran interaktif bagi membantu pelajar memahami perjalanan bekalan air daripada sumber semula jadi sehingga disalurkan kepada pengguna,” katanya.

Mesti Baca

Artikel Disyorkan

Scroll to Top