'33 tahun simpan buku tandatangan Dr Siti Hasmah, kenangan kekal terpahat' – Bekas pensyarah di China

'33 tahun simpan buku tandatangan Dr Siti Hasmah, kenangan kekal terpahat' – Bekas pensyarah di China

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bukan sahaja dirasai rakyat Malaysia, malah turut menyentuh hati bekas pensyarah China yang masih mengenang pertemuan istimewanya dengan Allahyarham 33 tahun lalu.

Bagi Sun Baoping, 75, kenangan itu masih segar dalam ingatannya menerusi sebuah buku yang ditandatangani sendiri Dr Siti Hasmah ketika mereka bertemu di Beijing pada 1993 yang masih disimpan rapi sehingga hari ini.

Memori berkenaan dikongsikan kembali Sun kepada wartawan China Media Group (CMG) dari Yunnan, Liang Liang atau mesra disapa Husna Liang selepas warga emas itu mengetahui berita pemergian Dr Siti Hasmah.

Mengimbau kembali kenangan itu, Sun yang juga bekas pensyarah jurusan bahasa Melayu Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing (BFSU) itu berkata, dia mengenali tokoh berkenaan ketika diberi tanggungjawab menjadi penterjemah Dewan Besar Rakyat ketika lawatan rasmi Dr Siti Hasmah ke China pada 1993.

Katanya, ketika itu Dr Siti Hasmah menghadiri majlis pelancaran antologi cerpen penulis wanita Malaysia di Beijing pada Jun 1993.

“Saya teringat kembali pada 1993 ketika beliau (Siti Hasmah) berusia 67 tahun, beliau dijemput untuk membuat lawatan rasmi ke China dan saya bertugas sebagai penterjemah di Dewan Besar Rakyat.

“Itu kali pertama saya bertemu secara dekat dengan isteri Perdana Menteri.

“Pakaian beliau pada hari itu cerah dan cantik, rambutnya disanggul dengan kemas dan kelihatan sangat elegan,” katanya.

Sun yang kini menetap di sebuah kampung kira-kira 60 kilometer dari Beijing berkata, selepas majlis itu berakhir, dia teringat untuk mengeluarkan buku berkenaan dan mengambil peluang meminta Dr Siti Hasmah menandatangani halaman tajuknya.

Katanya, dia beruntung kerana permintaannya disambut mesra Dr Siti Hasmah dan detik berkenaan kekal terpahat dalam ingatannya sehingga hari ini.

“Beliau sangat mudah bergaul. Saya masih menyimpan buku ini sehingga hari ini,” katanya.

Selain buku berkenaan, Sun turut menyimpan foto lama yang merakamkan pertemuan mereka sekali gus menjadi kenangan bermakna sepanjang hidupnya.

Menurut Sun, pemergian Dr Siti Hasmah kelmarin turut menyentuh hatinya sekali gus mengingatkannya kembali kepada pertemuan yang berlaku lebih tiga dekad lalu.

“Orang yang dicintai dan dihargai telah pergi, namun kenangan indah kekal terpahat di hati.

“Semoga persahabatan rakyat China dan Malaysia terus berkekalan abadi,” katanya.

Sementara itu, Husna Liang, 32, ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia mengenali Sun selepas menemu bual bekas pensyarah berkenaan yang fasih berbahasa Melayu, tahun lalu.

Katanya, Sun berkongsi foto lama, kenangan serta ucapan takziah kepadanya pagi semalam kerana mahu menyampaikan rasa dukacita kepada keluarga Dr Siti Hasmah dan rakyat Malaysia berikutan tidak memiliki akaun media sosial.

“Pagi semalam, dia (Sun) berkongsi memori dan gambar ini dengan saya kerana mahu menyampaikan takziah kepada keluarga Tun Siti Hasmah dan rakyat Malaysia.

“Namun, dia sudah berusia dan tidak mempunyai akaun media sosial,” katanya.

Husna Liang berkata, menyedari betapa bermaknanya kenangan itu kepada Sun, dia mengambil pendekatan berkongsi kisah itu di media sosialnya.

“Saya rasa perkara ini sangat bermakna, jadi saya susunkan foto serta ucapan takziah daripada Puan Sun dan memuat naiknya di Facebook dan Instagram saya semalam,” katanya.

Isnin lalu, Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada usia 100 tahun.

Allahyarham yang juga isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut meninggalkan tujuh anak sebelum diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara dan disemadikan di Pusara Negara, Putrajaya pada hari sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top