Ipoh: Lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Batu 8, Jalan Tanjung Tualang, dekat Batu Gajah sejak tiga hari lepas, ditemukan selamat hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata Muhammad Nurfirdaus Hariz Hamdan, 26, ditemukan pada 3.37 petang kira-kira 1.2 kilometer dari rumahnya.
“Mangsa ditemukan oleh orang awam yang melihatnya melambaikan tangan meminta bantuan di tepi jalan berhampiran ladang kelapa sawit.
“Orang awam itu menghubungi pasukan penyelamat dan mangsa ditemukan dalam keadaan selamat berhampiran ladang kelapa sawit berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Tualang, Batu 7,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata mangsa diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan lanjut berikutan penyakit asma yang dihidapinya.
Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menerima maklumat daripada penduduk kampung pada pagi ini mengenai lelaki itu berada di sebuah rumah penduduk untuk menumpang mandi.
Muhammad Nurfirdaus Hariz bagaimanapun telah meninggalkan rumah itu dan masuk semula ke kawasan hutan berhampiran ladang kelapa sawit.
“Berdasarkan maklumat itu, operasi pencarian ditumpukan di kawasan berkenaan dianggarkan seluas lima ekar dan turut menggunakan khidmat anjing pengesan bomba dan polis,” katanya.
Sabarodzi berkata operasi SAR ditamatkan pada 4.30 petang.
Sebelum ini, bomba dimaklumkan mengenai kehilangan Muhammad Nurfirdaus Hariz oleh polis pada 2.38 petang Isnin lepas susulan laporan dibuat abang lelaki itu yang menyedari adiknya tiada di rumah dan pintu belakang rumah terbuka.
Sementara itu, kakak Muhammad Nurfirdaus, Noor Harnida, 40, berkata mereka sekeluarga bersyukur kerana adiknya yang mesra disapa Acu ditemukan selamat.
Noor Harnida berkata adiknya ditemukan dalam keadaan lesu serta terdapat luka pada kaki, namun berada dalam keadaan stabil di Hospital Batu Gajah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




