hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan syor penambahbaikan tatakelola kepada FELDA serta dua anak syarikatnya bagi memperkukuh tadbir urus projek kendalian agensi berkenaan.
Dua anak syarikat terbabit ialah FIC Supplies Sdn Bhd (FIC Supplies) dan FIC Integrated Property Management (FIC IPM) dengan tumpuan penambahbaikan membabitkan pelaksanaan Projek Agro Park (Komersil) serta Projek Rintis Urus Niaga Jual Beli Lembu.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM mencadangkan peranan FIC IPM distruktur semula sebagai panel penasihat bebas.
Langkah itu bagi memastikan setiap pandangan dan nasihat yang diberikan kepada agensi tersebut bersifat objektif, telus dan tidak dipengaruhi oleh sebarang konflik kepentingan.
“BPT SPRM turut mengesyorkan FELDA memperkukuh tatacara pengurusan perolehan dan urus niaga melalui pewujudan Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus.
“Ia berkaitan dengan kaedah perolehan secara Request for Proposal (RFP) dan perubahan kerja (Variation Order).
“Langkah ini penting bagi memastikan proses terbabit dilaksanakan secara konsisten, sistematik dan telus selaras dengan peraturan serta kawalan dalaman yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.
Selain itu, syor berkenaan turut merangkumi penambahbaikan prosedur sedia ada berhubung urusan jual beli oleh FIC Supplies bagi memantapkan lagi kawalan serta tadbir urus urus niaga syarikat terbabit.
Pembentangan syor berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah I BPT SPRM, Maznah Che Muda di Menara FELDA, pada Isnin lalu.
Sementara itu, pihak FELDA dan anak syarikatnya menyambut baik syor yang dikemukakan bagi memperkukuh ketelusan dan integriti agensi berkenaan, selain menyatakan komitmen penuh untuk melaksanakannya secara berperingkat.
Persetujuan tersebut dimeterai menerusi penandatanganan Laporan Penambahbaikan Tatakelola oleh Timbalan Pengarah Besar Servis Korporat FELDA, Muhammad Fitri Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FIC, Syed Fadil Syed Sofi bersama Pengarah BPT SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




