Pembahagian tauhid kepada tiga kategori iaitu Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat sering menjadi perbahasan dalam dunia Islam, khususnya antara kelompok yang mengikuti pendekatan Salafi dengan ulama Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) yang berpegang kepada tradisi Asyairah dan Maturidiah.
Dalam literatur Salafi, pembahagian ini memang digunakan secara jelas. Antara sumber yang menerangkannya ialah karya berkaitan akidah oleh Syeikh Salih al-Fawzan yang membahagikan tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah serta al-Asma’ wa al-Sifat.
Namun, pengkritik pendekatan ini mempersoalkan bukan semata-mata kewujudan istilah tersebut, tetapi kesan dan implikasi penggunaannya apabila dijadikan kerangka utama untuk menilai akidah umat Islam.
Antara 20 persoalan yang sering diketengahkan ialah:
Pertama, pembahagian tersebut dikatakan memisahkan aspek Rububiyyah daripada konsep tauhid yang menyeluruh. Pengkritik berpandangan pengesaan Allah sebagai Pencipta, Pemilik dan Pengatur tidak wajar dilihat sebagai kategori yang terpisah daripada pengesaan-Nya dalam ibadah.
Kedua, Tauhid Rububiyyah dianggap terlalu diletakkan pada tahap asas sehingga muncul persoalan bahawa orang musyrik juga dikatakan mengakui Allah sebagai Pencipta, tetapi tetap tidak dianggap bertauhid sepenuhnya.
Ketiga, istilah tiga serangkai itu dipersoalkan dari sudut sejarah kerana ia bukan lafaz yang terdapat secara literal dalam Kalimah Syahadah atau diajarkan Nabi SAW kepada para sahabat sebagai formula tiga kategori.
Keempat, pengkritik melihat Rububiyyah dan Uluhiyyah mempunyai hubungan yang sangat rapat. Mengakui Allah sebagai Rabb sepatutnya membawa kepada pengabdian hanya kepada-Nya.
Kelima dan keenam, kebimbangan utama ialah penggunaan kerangka itu dalam menilai amalan seperti tawassul, istighathah dan ziarah kubur. Pengkritik mendakwa ia boleh membuka ruang kepada takfir apabila sesuatu amalan dianggap sebagai pencabulan Tauhid Uluhiyyah.
Ketujuh, kritikan turut diberikan kerana perbincangan mengenai syirik boleh terlalu tertumpu kepada amalan zahir, sedangkan tradisi ilmu Islam turut memberi perhatian terhadap syirik batin seperti riya’, ujub dan mencari pujian manusia.
Kelapan, pengkritik mempertikaikan apabila satu pembahagian tertentu dianggap sebagai satu-satunya kerangka yang wajib digunakan dalam memahami tauhid.
Kesembilan, persoalan timbul apabila orang awam yang mengakui Allah sebagai Pencipta, tetapi tidak memahami istilah teknikal tersebut dikaitkan dengan konsep tauhid Rububiyyah orang musyrik.
Kesepuluh, ulama dalam tradisi ilmu kalam dan tasawuf pula lazimnya menghuraikan tauhid melalui pendekatan yang berbeza, termasuk perbahasan tentang Zat, Sifat dan Af’al Allah.
Kesebelas hingga kelima belas, perbahasan menjadi lebih kompleks apabila ia dikaitkan dengan isu sifat Allah. Pengkritik Ashā’irah bimbang pendekatan literal terhadap nas sifat boleh membuka ruang kepada tashbih dan tajsim, manakala pendukung pendekatan Salafi menegaskan mereka menetapkan sifat tanpa menyerupakan Allah dengan makhluk. Dalam sumber Salafi sendiri, kaedah mereka dinyatakan sebagai menetapkan sifat tanpa tashbih, tamthil, ta’til dan takyif.
Perbezaan ini menunjukkan bahawa isu sebenarnya bukan sekadar ‘ada atau tiada’ sifat Allah, tetapi berkaitan kaedah memahami nas mutasyabihat.
Keenam belas hingga kelapan belas, pengkritik mendakwa perbezaan metodologi ini menyumbang kepada ketegangan antara umat Islam, khususnya apabila istilah bidaah, syirik dan kufur digunakan terhadap kelompok yang berbeza pandangan.
Kesembilan belas, inti pati dakwah Rasulullah SAW tetap berpusat kepada pengesaan Allah dan Kalimah Lā ilāha illallāh. Pembahagian istilah boleh digunakan sebagai kaedah penerangan, tetapi pengkritik mempersoalkan apabila ia dianggap sebagai ukuran tunggal untuk menentukan keselamatan akidah seseorang.
Kedua puluh, kritikan paling keras ialah apabila konsep tauhid dikatakan digunakan bukan lagi sebagai perbahasan ilmiah semata-mata, tetapi dalam pertarungan kelompok dan politik identiti umat Islam.
Antara contoh yang sering dibangkitkan ialah karya Muhammad Ahmad Bashmil, Kayfa Nafham al-Tawhid? Dalam karya tersebut memang terdapat perbahasan mengenai ‘Tauhid Abu Jahl dan Abu Lahab’ serta dakwaan bahawa mereka mengakui Allah sebagai Rabb.
Bahkan terdapat petikan yang secara jelas membandingkan pengakuan Rububiyyah Abu Jahl dan Abu Lahab dengan orang Islam yang melakukan tawassul. Kenyataan tersebut menjadi antara hujah utama pihak yang mengkritik pendekatan tiga serangkai.
Begitu juga karya Syeikh Salih al-Fawzan, Al-Irshad ila Sahih al-I’tiqad wa al-Radd ‘ala Ahl al-Shirk wa al-Ilhad, yang mempunyai bab khusus mengenai Rububiyyah, Uluhiyyah dan al-Asma’ wa al-Sifat serta perbahasan terhadap kelompok yang dianggap menyimpang daripada manhaj Salaf.
Justeru, perbahasan Tauhid Tiga Serangkai tidak wajar diselesaikan dengan label semata-mata. Ia perlu dibincangkan secara ilmiah dengan melihat definisi, dalil, sejarah istilah, metodologi memahami sifat Allah dan implikasi terhadap hukum syirik serta kufur.
Perbezaan dalam isu akidah sememangnya telah wujud dalam sejarah panjang umat Islam. Namun, cabaran terbesar hari ini ialah memastikan perbezaan ilmiah tidak berubah menjadi permusuhan, penghinaan atau mudah menghukum sesama Muslim.
Penulis Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri
© New Straits Times Press (M) Bhd




