Man. City disingkir daripada EPL?

Man. City disingkir daripada EPL?

LONDON: Bekas pengerusi Manchester City, David Bernstein mahu kelab berkenaan disingkirkan daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas didapati bersalah melanggar peraturan kewangan.

City didapati bersalah mengatur kontrak palsu dengan beberapa rakan komersial bagi meningkatkan pendapatan kelab dan mengurangkan kos sepanjang tempoh sembilan musim antara 2009 hingga 2018.

Kontrak berkenaan menyembunyikan kedudukan kewangan sebenar bekas juara EPL itu dan menyebabkan City mengelak daripada melanggar had perbelanjaan yang ditetapkan liga serta UEFA.

Memuatkan artikel berkaitan…

Suruhanjaya bebas turut mendapati kelab tersebut bersalah atas majoriti pertuduhan berkaitan kegagalan mereka memberikan kerjasama dalam siasatan liga yang berlanjutan lama.

City boleh diturunkan divisyen, dikenakan potongan mata atau didenda dengan jumlah yang sangat besar, namun tiada hukuman dikenakan setakat ini dan difahamkan mereka akan merayu keputusan berkenaan.

Namun Bernstein, yang pernah menjadi pengerusi City dari 1998 hingga 2003 berpendapat,kelab yang berpangkalan di Stadium Etihad itu wajar menerima hukuman paling berat.

“Ia sangat serius. Saya fikir ia benar-benar teruk. Ada pandangan dalam kalangan peguam bahawa pendekatannya ialah menafikan, menafikan dan terus menafikan, tetapi ini sebuah kelab bola sepak yang sebahagian daripada liga dan seluruh kredibiliti liga kini dipertaruhkan.

“Hukuman tidak boleh sekadar berbentuk kewangan, jadi ia mesti jauh lebih berat daripada itu. Jika rayuan gagal, Manchester City tidak boleh kekal dalam liga, mereka mesti menerima akibatnya. Dan saya berkata demikian sebagai penyokong dan peminat,” kata Bernstein kepada BBC. – AGENSI/UTUSAN

Scroll to Top