
Mohd Radzi
SHAH ALAM – Tindakan pihak tertentu yang sengaja memburukkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan sebagai alasan untuk memutuskan hubungan politik telah terjalin sebelum ini.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, parti itu menjadi sasaran pelbagai tuduhan yang digambarkan seolah-olah menjadi punca kepada keretakan hubungan berkenaan.
“Bersatu diburukkan sedemikian rupa bagi dijadikan alasan untuk putuskan hubungan,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Mohd Radzi tidak memperincikan pihak dimaksudkan, namun kenyataan itu hadir selepas Pas memutuskan untuk menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan Bersatu yang menjadi rakan komponennya dalam PN.
Keputusan drastik itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan pada Isnin bagi membincangkan hala tuju parti mendepani fasa politik baharu.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan memutus hubungan itu dibuat selepas parti meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas-Bersatu berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa secara menyeluruh.
Bagaimanapun, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, partinya memutuskan untuk terus kekal dalam PN dan memperkukuhkan teras perjuangannya sebagai parti pengasas gabungan berkenaan.



