Ribut 20 saat rosakkan puluhan rumah di Klebang

Ribut 20 saat rosakkan puluhan rumah di Klebang

MELAKA: Ribut selama kira-kira 20 saat mengubah suasana tenang awal pagi di Kampung Tengah, Pulau Gadong dekat sini hari ini.

Sekitar pukul 4.30 pagi, hampir 20 buah rumah mengalami kerosakan teruk ketika penghuni sedang nyenyak tidur sebelum keadaan menjadi huru-hara.

Penduduk, Md. Sukor Abu, 49, berkata, ketika kejadian dia bersama lapan lagi ahli keluarga belum tidur kerana baharu pulang daripada urusan pengebumian ibu mentua.

“Saya dengar ada orang menjerit, mengejutkan kami. Kemudian terdengar bunyi seperti dentuman kuat. Pada mulanya saya ingat ada benda jatuh. Bila keluar rumah, saya tengok keadaan atap rumah rosak teruk.

“Mujurlah ahli keluarga saya tidak mengalami sebarang kecederaan dan kami sekeluarga sempat menyelamatkan diri daripada ditimpa malapetaka,” katanya ketika ditemui.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong yang meninjau tempat kejadian dan berjumpa semua mangsa terlibat.

Seorang lagi mangsa, Ida Norhidayah Md. Derus, 42, yang merupakan guru tadika berkata, siling rumahnya pecah lantas menyebabkan air hujan memasuki kediaman yang dihuni bersama ibu, suami serta dua anak.

“Saya terus membawa dua orang anak ke bilik mak untuk berlindung. Ketika itu kami dapati bumbung rumah sudah tercabut.

“Air turun mencurah-curah ke dalam rumah. Semua bumbung tercabut. Ini kejadian pertama yang kami alami dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Ban Hong berkata, ia merupakan insiden ribut paling teruk pernah berlaku di kawasan berkenaan.

“Dua-dua kampung ini terletak berhampiran pantai dan kali ini kira-kira 20 rumah terjejas. Ada rumah yang mengalami kerosakan pada bumbung, bahagian dapur dan hadapan rumah, malah ada rumah yang kehilangan hampir separuh struktur bumbung akibat dipukul ribut,” katanya.

Katanya, proses penilaian kerosakan akan dilakukan bagi membolehkan mangsa menerima bantuan melalui Tabung Sagu Hati Bencana Alam. – UTUSAN

Scroll to Top