Isu kebanjiran dan penempatan haram etnik Rohingya di Malaysia disifatkan sudah menjadi ‘barah’ yang memerlukan tindakan serta penyelesaian segera daripada semua pihak berkaitan.
Pelarian Rohingya bukan perkara baru
Memetik laporan daripada Kosmo! Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menyatakan isu pelarian bukan perkara baharu dan telah berlarutan sejak sekian lama.
Menurut beliau, sehingga April lalu, seramai 219,472 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) direkodkan berada di Malaysia.
“Daripada jumlah itu, seramai 197,591 pemegang kad UNHCR adalah warga Myanmar dengan 128,200 daripada mereka merupakan etnik Rohingya,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Lawatan Hospital sempena Hari Polis ke-219 di Cheras hari ini.

Polis adalah penerima terakhir dalam rantaian bertanggungjawab
Ayob Khan menjelaskan bahawa usaha menangani isu Rohingya tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia atau Jabatan Imigresen Malaysia semata-mata.
Menurutnya, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melibatkan pelbagai lapisan penguatkuasaan bermula dari perairan sehingga mereka berjaya mendarat di negara ini.
“Polis adalah penerima terakhir dalam rantaian ini. Dari sudut keselamatan dan jenayah, kita akan ambil tindakan sekiranya mereka terlibat dalam sebarang kesalahan.
“Namun, apabila mereka ditangkap dan dihukum, timbul persoalan ke mana mereka hendak dihantar semula. Sebab itu isu ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk negara sumber dan negara lain yang berkaitan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan operasi membanteras penempatan PATI termasuk etnik Rohingya dilaksanakan secara berterusan oleh pihak berkuasa.
“Sebagai contoh, operasi di kawasan Flat Rancangan Sungai Tekali, Hulu Langat sudah dilaksanakan dan seramai 42 individu ditahan. Ketua Polis Daerah Kajang juga sudah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu pada 9 Jun lalu,” katanya.
Mengulas cadangan mewujudkan pusat penempatan Rohingya di sebuah pulau berhampiran Laut Andaman, Ayob Khan berkata terdapat banyak perkara yang perlu diteliti sebelum ia dilaksanakan.
“Kalau diwujudkan pusat seperti itu, siapa yang akan menguruskannya? Siapa yang akan membiayainya? Selepas disaring, mereka hendak ditempatkan di mana?
“Adakah negara ketiga sanggup menerima mereka? Ini antara persoalan utama yang perlu dijawab sebelum sesuatu cadangan itu dilaksanakan,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa kewujudan pusat transit khas berpotensi menjadi faktor penarik atau ‘pull factor’ yang boleh dieksploitasi sindiket penyeludupan manusia untuk membawa lebih ramai migran ke rantau ini.
Dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata PDRM akan terus memperkukuh kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Katanya, program kali ini menyaksikan sumbangan kerusi rawatan kepada kanak-kanak dan usaha tersebut akan diteruskan pada masa akan datang.
“Bagi kami, nilai sumbangan bukan perkara utama, sebaliknya hubungan antara polis dan masyarakat yang lebih penting,” tambahnya.

Sumber: Kosmo! (Harrith Hisham)




