Ronaldo gagal manfaat peluang, cetus perdebatan peranan menjelang Piala Dunia

Ronaldo gagal manfaat peluang, cetus perdebatan peranan menjelang Piala Dunia
Ronaldo gagal manfaat peluang, cetus perdebatan peranan menjelang Piala Dunia

Ronaldo gagal memanfaatkan situasi satu lawan satu dalam aksi persahabatan menentang Nigeria. Foto: Agensi

PRESTASI penyerang veteran Portugal, Cristiano Ronaldo kembali menjadi perhatian apabila kegagalannya menyempurnakan beberapa peluang keemasan mencetuskan perdebatan mengenai peranannya dalam skuad kebangsaan menjelang Piala Dunia 2026.

Menurut laporan Daily Mail, penyerang berusia 41 tahun itu melalui malam mengecewakan dalam aksi pemanas badan terakhir sebelum kejohanan apabila mensia-siakan beberapa peluang penting ketika Portugal menewaskan Nigeria 2-1 di Stadium Dr. Magalhães Pessoa, Leiria.

Ronaldo terus diberi kepercayaan sebagai penyerang utama oleh jurulatih, Roberto Martinez yang masih mengekalkan tonggak berpengalaman itu walaupun terdapat pilihan lain seperti Gonçalo Ramos.

Dalam perlawanan berkenaan, Ronaldo melepaskan beberapa peluang terbaik termasuk situasi satu lawan satu pada minit kesembilan apabila rembatannya tersasar ke kiri pintu gol.

Beliau turut mensia-siakan beberapa lagi peluang pada babak pertama dan kedua, termasuk tandukan dan rembatan dalam kotak penalti yang tidak menepati sasaran, sebelum digantikan pada minit ke-65 tanpa jaringan.

Secara keseluruhan, Ronaldo mencatat empat percubaan tanpa sebarang tepat sasaran, selain mensia-siakan tiga peluang terbaik dalam perlawanan itu.

Persembahan hambar itu mencetuskan semula persoalan mengenai keberkesanan kehadirannya dalam kesebelasan utama, dengan sebahagian pemerhati berpendapat Portugal mungkin lebih seimbang tanpa terlalu bergantung kepada bintang berkenaan.

Bagaimanapun, Martinez mempertahankan keputusannya dengan menjelaskan bahawa Ronaldo masih sebahagian penting dalam perancangan pasukan menjelang Piala Dunia.

“Perancangan kami adalah untuk Cristiano bermain sekitar 45 hingga 60 minit. Fokus kami adalah melihat tahap fizikalnya dan membina pasukan yang mampu menamatkan permainan dengan lebih baik,” katanya.

Ronaldo kini dalam persiapan untuk penampilan keenam Piala Dunia, dengan rekod 228 penampilan antarabangsa dan 143 gol bersama Portugal, selain memburu jaringan pertama di peringkat kalah mati kejohanan itu.

Portugal diundi dalam Kumpulan K bersama Colombia, Republik Demokratik Congo dan Uzbekistan.

Scroll to Top