Milan: Ketiadaan Itali di pentas Piala Dunia 2026 tidak menghalang peminat bola sepak negara itu daripada terus mengikuti kejohanan terbesar dunia, malah ramai yang kini beralih menyokong pasukan lain.
Menurut satu tinjauan oleh organisasi SWG, sekitar 59 peratus daripada 800 responden Itali berkata mereka akan tetap menonton Piala Dunia walaupun Azzurri gagal layak ke edisi kali ini.
Daripada jumlah itu, Brazil muncul sebagai pilihan utama dengan 17 peratus sokongan, diikuti Sepanyol dengan 16 peratus, manakala Argentina mencatat 10 peratus.
Perancis dan England masing-masing menerima lima peratus sokongan dalam kalangan peminat Itali yang tidak mahu ketinggalan menikmati kemeriahan kejohanan.
Menteri Sukan Itali, Andrea Abodi pula secara terbuka menyatakan sokongan kepada Brazil selain mengakui kekaguman terhadap pengendali Carlo Ancelotti yang kini mengemudi skuad Selecao.
Beliau turut menyebut sokongan kepada pasukan kendalian Vincenzo Montella dan Fabio Cannavaro sebagai antara pilihan menarik untuk diikuti sepanjang kejohanan.
Itali, juara dunia empat kali, sekali lagi gagal melayakkan diri ke Piala Dunia selepas tewas dalam aksi playoff kepada Bosnia-Herzegovina, sekali gus menyaksikan mereka terlepas tiga edisi berturut-turut.
Kegagalan itu juga menambah derita Azzurri yang kali terakhir merasai aksi kalah mati Piala Dunia adalah dua dekad lalu.
Piala Dunia 2026 dijadual membuka tirainya di Mexico apabila tuan rumah menentang Afrika Selatan dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada jam 3 pagi waktu Malaysia.
Di sebalik kekecewaan di tanah air, peminat Itali tetap mencari “pasukan baharu” untuk disokong dalam pesta bola sepak terbesar dunia itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




