
Pemeriksaan awal mendapati tubuh mangsa mengalami sejumlah kesan cakaran dan luka akibat tikaman. Foto Agensi
JAYAPURA – Seorang lelaki maut ditikam teman wanitanya dalam satu kejadian menggemparkan di Indonesia.
Mangsa dikenali sebagai JL, 27, sempat meminta tolong sambil memegang lehernya yang berlumuran darah ketika kejadian di bilik sewa Kompleks SMU 4, Jalan Beringin, Kelurahan Entrop, Distrik Jayapura Selatan, Papua pada Selasa lalu.
Beberapa penghuni turut terdengar jeritannya selepas mangsa keluar dari kamar dihuni kekasihnya.
“Mereka cuba menghentikan pendarahan, namun JL rebah dan tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia,” kata Kasat Reskrim Polresta Jayapura Kota, AKP Alamsyah Alin.
Pemeriksaan awal mendapati tubuh mangsa mengalami sejumlah kesan cakaran dan luka akibat tikaman.
Jasadnya telah dihantar ke RS Bhayangkara TK II Jayapura untuk proses autopsi.
Difahamkan, pelaku dikenali sebagai AR masih menjalani rawatan akibat kecederaan dialaminya dan turut dikawal ketat pihak berkuasa.
Siasatan telah dilancarkan termasuk mengambil keterangan saksi dan memeriksa barang bukti untuk mengenal pasti motif pembunuhan tersebut. – Agensi



