
Mohd Yazid (tengah) mempengerusikan Mesyuarat BPN Pahang yang memperincikan gerak kerja persidangan parti itu pada Khamis.
KUANTAN – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang menerima 1,013 permohonan keahlian baharu pada bulan ini, sekali gus menunjukkan peningkatan sokongan khususnya dalam kalangan golongan muda dan wanita.
Menurut kenyataan Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Pahang, jumlah tersebut merupakan kesinambungan momentum pertambahan ahli selepas parti itu merekodkan 1,214 keahlian baharu pada Mei lalu.
“Tiga bahagian yang mencatatkan pendaftaran ahli tertinggi ialah Rompin dengan 121 ahli baharu, diikuti Temerloh (113) dan Bera (93).
“Kenyataan itu memaklumkan, program pendaftaran keahlian bulanan berkenaan digerakkan di bawah pimpinan Ketua BPN, Mohd Yazid Jaafar bersama timbalannya, Datuk Jasri Jamaludin,” katanya.
Jumlah keahlian baharu itu dimaklumkan selepas Mesyuarat Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Pahang yang berlangsung pada Khamis.
Menurut kenyataan tersebut, mesyuarat berkenaan turut membincangkan persiapan bagi persidangan cawangan dan bahagian serta Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersaty yang dijadual berlangsung dari Jun hingga November tahun ini.
” Tempoh tersebut akan dimanfaatkan bagi memperkukuh struktur dan gerak kerja parti di semua peringkat,”katanya
Jelas kenyataan itu, jentera Bersatu Pahang akan membuktikan solidariti mereka berskala nasional.
“Minggu hadapan, jentera pilihan rayaakan mula turun ke padang bagi menggerakkan momentum kemenangan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.



