Kampar: Penggunaan tinja ayam yang tidak diproses sebagai baja tanaman kontan dipercayai antara punca lebih 400 penduduk di empat kampung di sini berdepan gangguan lalat dan bau busuk sejak awal tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Changkat Tualang/Redang Sawa, Ahmad Kazimi Ibrahim berkata, masalah membabitkan Kampung Changkat Tualang, Kampung Redang Sawa, Kampung Changkat Legong dan Kampung Kota Bharu itu semakin serius sejak tiga bulan lalu.
Beliau berkata, kawasan tanaman jagung dan ubi keledek dianggarkan seluas 40 hektar mengelilingi keempat-empat kampung berkenaan dengan penduduk mendakwa gangguan semakin ketara susulan peningkatan penghantaran tinja ayam ke kawasan terbabit.
“Gangguan ini asalnya tidak seteruk mana, namun sejak tiga bulan lalu, lori kerap masuk menghantar baja tinja ayam ini. Lalat yang banyak ini juga kita dapati berpunca daripada tindakan mereka (pengusaha) yang mahu memulakan tanaman baharu dan menggunakan baja tersebut,” katanya ketika ditemui di Kampung Redang Sawa di sini, hari ini.
Ahmad Kazimi berkata, keadaan itu menjejaskan kehidupan seharian penduduk selain menimbulkan kebimbangan terhadap aspek kebersihan dan kesihatan apabila lalat memenuhi kediaman tanpa mengira waktu sehingga mengganggu aktiviti memasak, makan dan tidur.
Beliau berkata, wakil penduduk sudah beberapa kali mengadakan sesi libat urus dengan pengusaha terbabit, namun masih belum menemui penyelesaian memuaskan.
Sehubungan itu, penduduk berharap kerajaan negeri serta agensi berkaitan dapat campur tangan bagi menangani masalah berkenaan.
Seorang penduduk yang juga pengusaha kedai makan, Osman Sharif, 58, mendakwa pendapatan perniagaannya di Kampung Redang Sawa merosot hampir 50 peratus apabila pelanggan, terutama dari luar, membatalkan hasrat untuk singgah selepas melihat keadaan premis yang dihurung lalat.
Beliau berkata, masalah itu turut menyebabkan kos operasi meningkat kerana terpaksa membeli peralatan kawalan serangga setiap hari bagi memastikan kebersihan premis terpelihara.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, kerajaan negeri memandang serius isu berkenaan dan Jabatan Pertanian negeri akan menjalankan bancian terperinci bagi mengenal pasti pengusaha serta jenis tanaman di kawasan terbabit.
Beliau berkata, langkah itu turut bertujuan memastikan pematuhan terhadap standard pengurusan baja, termasuk mengenal pasti sama ada tinja ayam mentah yang tidak diproses masih digunakan secara meluas.
Selain itu, semakan akan dibuat terhadap status tanah pertanian yang kebanyakannya disewa pengusaha daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC).
© New Straits Times Press (M) Bhd




