Budak jumpa bayi tepi longkang, pasangan kekasih ditahan

Budak jumpa bayi tepi longkang, pasangan kekasih ditahan

Bangkok: Polis menahan sepasang kekasih warga asing kerana meninggalkan seorang bayi berhampiran longkang di Udon Thani, lapor TheThaiger.

Bayi perempuan itu, bagaimanapun meninggal dunia ketika usaha menyelamat sedang dijalankan.

Kejadian itu terbongkar pada Rabu, apabila tiga kanak-kanak berusia antara 10 dan 12 tahun menemui bayi berkenaan di bawah sebatang pokok di tepi longkang di komuniti Don Udom.

Kanak-kanak berkenaan dilaporkan ke kawasan itu untuk memancing sebelum menemui bayi terbabit.

Anggota penyelamat dimaklumkan dan tiba di lokasi kejadian untuk memberikan bantuan kecemasan.

Bantuan pernafasan diberikan sebelum bayi itu dikejarkan ke hospital, namun bayi berkenaan gagal diselamatkan.

Pegawai dari Balai Polis Mueang Udon Thani memberitahu Channel 7, bayi perempuan itu berusia kira-kira dua minggu.

Badannya masih hangat ketika ditemui tetapi sudah tiada denyutan nadi.

Penyiasat menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sekitar dan mengenal pasti dua warga asing yang disyaki terbabit dalam kes pembuangan bayi itu.

Menurut polis, rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki dipercayai warga Eropah dan seorang wanita yang dikenal pasti sebagai warga Amerika berjalan di sepanjang jalan di belakang Kuil Santiwan sebelum memasuki Soi Chan Charoensuk.

Polis berkata pasangan itu berhenti berhampiran sebuah kediaman di tepi terusan, dan kamera merakam tindakan mereka meletakkan bayi berkenaan di bawah sebatang pokok sebelum beredar dari kawasan itu melalui laluan berbeza.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top