Proses pendaftaran, penentuan status pelarian sedang dilaksana – KDN

Proses pendaftaran, penentuan status pelarian sedang dilaksana – KDN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang melaksanakan proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) di Semenanjung Malaysia bagi mengenal pasti status, identiti serta latar belakang pemegang dokumen Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan individu yang mendakwa diri mereka sebagai pelarian.

KDN dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan proses itu merupakan langkah penting bagi memastikan kerajaan mempunyai data yang tepat, sahih dan menyeluruh dalam menguruskan isu pelarian serta cabaran migrasi yang dihadapi negara sejak sekian lama.

“Isu pelarian perlu diuruskan secara berhemah, berasaskan fakta serta mengambil kira pertimbangan keselamatan dan kemanusiaan,” katanya pada Khamis.

Foto: Carian Google

Menurut KDN, Malaysia telah berhadapan dengan kehadiran pelarian dan pemegang kad UNHCR sejak berpuluh tahun lalu, namun kerajaan masih berdepan cabaran untuk mendapatkan gambaran lengkap berkaitan jumlah sebenar, identiti serta latar belakang individu yang berada dalam negara atas kapasiti tersebut.

KDN menegaskan, sebagai agensi yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dalam negeri dan mengurus migrasi negara, setiap dasar serta keputusan berkaitan perkara itu perlu dibuat berdasarkan maklumat yang tepat dan boleh disahkan.

“Kerajaan perlu memastikan setiap keputusan dan dasar yang dilaksanakan berpaksikan data yang tepat, sahih dan dimiliki oleh Kerajaan Malaysia sendiri,” ujarnya.

Proses DPP dilaksanakan berdasarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023), dengan KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia bertanggungjawab menjalankan proses pendaftaran berkenaan di Semenanjung Malaysia.

Melalui proses itu, kerajaan akan mendapatkan data biometrik dan maklumat identiti lebih terperinci bagi membantu menentukan status, keberadaan serta latar belakang individu yang terlibat.

“Melalui DPP, Kerajaan akan memperoleh data biometrik dan maklumat identiti yang lebih terperinci bagi membolehkan status, keberadaan dan latar belakang individu yang terlibat dikenal pasti dengan lebih tepat,” jelas KDN.

KDN berkata, maklumat yang diperoleh menerusi DPP akan membantu kerajaan menilai implikasi isu pelarian terhadap aspek keselamatan, kesihatan awam, ekonomi dan sosial secara lebih menyeluruh.

Data tersebut juga akan digunakan bagi memperkemas prosedur operasi standard (SOP), dasar migrasi serta tindakan penguatkuasaan berkaitan pelarian dan pemegang kad UNHCR.

“Ia juga membolehkan prosedur operasi standard (SOP), dasar migrasi serta langkah-langkah penguatkuasaan berkaitan pelarian, pemegang kad UNHCR diperkemas berdasarkan maklumat yang sahih dan boleh disahkan,” katanya.

KDN turut menegaskan bahawa pelaksanaan DPP bukan bertujuan memberikan kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak menetap secara kekal di Malaysia.

Foto: Carian Google

Sebaliknya, proses itu merupakan instrumen kerajaan untuk memastikan pengurusan migrasi negara lebih tersusun serta membolehkan kawalan terhadap isu berkaitan keselamatan diperkukuhkan.

“Proses DPP bukanlah suatu bentuk pemberian kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak untuk menetap secara kekal di Malaysia.
“Sebaliknya, ia merupakan instrumen penting bagi memastikan Kerajaan mempunyai kawalan yang lebih baik terhadap isu migrasi dan keselamatan negara,” kata KDN.

Kementerian itu berkata, prinsip kerajaan dalam menangani isu pelarian adalah jelas iaitu memastikan keselamatan negara terus menjadi keutamaan, selain menguruskan isu berkenaan secara teratur dan berlandaskan undang-undang.

Tambahnya, pengurusan migrasi yang berkesan hanya dapat dilaksanakan apabila kerajaan mempunyai data yang tepat mengenai individu yang berada dalam sempadan negara.

“Keselamatan negara tidak akan sesekali dikompromi. Pada masa yang sama, isu pelarian perlu diuruskan secara teratur, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira realiti kemanusiaan yang wujud di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Kita tidak boleh mengurus sesuatu yang tidak kita kenali, dan kita tidak boleh menjaga keselamatan negara tanpa mengetahui dengan jelas siapa yang berada di dalam sempadan negara,” katanya.

Pelaksanaan DPP dijangka menjadi langkah penting ke arah mewujudkan sistem pengurusan migrasi yang lebih tersusun, bertanggungjawab serta mengambil kira kepentingan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Sumber: Facebook Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Scroll to Top