Kuala Lumpur: Kehangatan kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia, Piala Dunia FIFA 2026 kini kembali dirasai dan pastinya jutaan peminat sukan itu di seluruh negara tidak sabar untuk menyaksikan aksi pasukan kegemaran masing-masing.
Memahami keghairahan luar biasa ini, syarikat telekomunikasi terkemuka, U Mobile, mengorak langkah kanan demi memastikan rakyat Malaysia tidak terlepas walau sesaat pun detik-detik bersejarah di padang hijau.
Sebagai penaja siaran rasmi bagi kejohanan berkenaan di platform RTMKlik, penyedia rangkaian 5G terbaharu Malaysia itu komited untuk membawa peminat lebih dekat dengan aksi persaingan global tersebut.
Menerusi kerjasama strategik ini, para pelanggan bakal menikmati akses lancar bagi kesemua 104 perlawanan yang dijadualkan berlangsung sepanjang kejohanan.
Penstriman tanpa had dan percuma
Menyedari kekangan kuota data sering menjadi kegusaran utama ketika menonton perlawanan secara langsung, U Mobile memperkenalkan Pas Bola Sepak ULTRA (ULTRA Football Pass).
Inisiatif digital ini membolehkan semua pelanggan pelan mudah alih dan jalur lebar menikmati penstriman percuma tanpa had dengan kelajuan tertinggi.
Bermula dari 11 Jun sehingga 20 Julai 2026, pas khas ini boleh ditebus dengan mudah melalui aplikasi MyUMobile.
Melalui kemudahan tersebut, setiap peminat kini mampu menyokong pasukan pilihan mereka di mana-mana sahaja mereka berada, terus melalui aplikasi RTMKlik tanpa perlu risau tentang gangguan rangkaian mahupun kehabisan data.
Peluang rebut ganjaran bernilai RM250,000

Kemeriahan tidak berhenti setakat penstriman video sahaja.
Seiring dengan debaran kejohanan, U Mobile turut melancarkan kempen pengisian khas yang dinamakan ULTRA Football Fest bagi menghargai kesetiaan para pengguna mereka.
Malah, kempen ini menawarkan pelbagai hadiah eksklusif yang cukup lumayan untuk dibawa pulang.
Hadiah utama yang menjadi rebutan sudah semestinya Jelajah Impian Bola Sepak ULTRA (ULTRA Dream Football Tour), iaitu pakej percutian tajaan penuh bernilai RM250,000.
Pemenang bertuah bakal membawa tiga lagi rakan atau ahli keluarga untuk melawat beberapa kota bola sepak paling ikonik di dunia.
Bukan itu sahaja, empat pemenang lain juga berpeluang memenangi pakej hadiah ‘ULTRA Home Stadium Makeover’ yang bernilai keseluruhan RM50,000 untuk transformasi ruang tamu mereka, termasuk kelengkapan perkakas elektronik rumah dari jenama Samsung.
Kempen yang berlangsung dari 5 Jun hingga 31 Julai 2026 ini turut menawarkan 50 unit telefon pintar Samsung Galaxy S26 ULTRA, 100 unit TV Pintar Samsung 65-inci Crystal UHD 4K serta 500 helai Jersi Rasmi Pasukan 2026.
Komitmen bawa pengalaman terbaik
Ketua Pegawai Perniagaan Pengguna U Mobile, Navin Manian berkata, peranan sebagai penaja siaran rasmi Piala Dunia FIFA 2026 di RTMKlik merupakan satu pencapaian yang amat bermakna dalam liputan transformasi 5G syarikat berkenaan.
“Ini adalah peluang terbaik untuk membuktikan bagaimana U Mobile mampu menghubungkan rakyat Malaysia dengan acara sukan terbesar di dunia.
“Sama ada menerusi akses tanpa gangguan di RTMKlik mahupun ganjaran eksklusif yang disediakan, kami mahu menjadikan pentas bola sepak dunia ini lebih mudah diakses, imersif dan memberi pulangan bermakna buat seluruh peminat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Bagi mereka yang ingin merasai sendiri kehangatan dan merebut peluang keemasan ini, penyertaan dibuka kepada pelanggan yang mendaftar baharu, menaik taraf pelan, atau membeli peranti di bawah pelan ULTRA Postpaid, ULTRA Prepaid serta Jalur Lebar U Home 5G.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini boleh layari laman sesawang rasmi di https://www.u.com.my/en/personal/deals/ultra-football-fest.
© New Straits Times Press (M) Bhd




