Sudah 15 Tahun Menetap Di Malaysia, Lelaki Rohingya Didakwa Rompak Razif Sidek Dengan Pisau

Sudah 15 Tahun Menetap Di Malaysia, Lelaki Rohingya Didakwa Rompak Razif Sidek Dengan Pisau

Seorang lelaki Rohingya yang didakwa merompak legenda badminton negara, Razif Sidek menggunakan pisau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Mohamad Fawyas Yasin, 27, yang sudah 15 tahun menetap di Malaysia berdepan pertuduhan merompak harta milik Datuk Mohamad Razif Mohd Sidek, 64, di sebuah rumah di Jalan Damansara, Taman Tun Dr Ismail pada jam 12.20 tengah hari, 19 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya J. Banusha bagaimanapun tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan yang dihadapi adalah serius selain kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik tertuduh telah tamat tempoh.

“Sekiranya jaminan dibenarkan dan tertuduh tidak hadir ke mahkamah, sukar untuk menjejaki keberadaannya memandangkan dia tidak mempunyai alamat tetap.

“Selain itu, tertuduh juga mengetahui alamat mangsa dan saksi, jadi dikhuatiri saksi-saksi akan diganggu,” katanya.

Sementara itu, Peguam Mansheel Kaur yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai buruh dan memperoleh pendapatan sekitar RM50 sehari.

Menurut beliau, tertuduh turut menanggung isteri yang tidak bekerja serta seorang anak berusia 10 bulan.

“Tertuduh tinggal di negara ini selama 15 tahun dan berhubung dengan kad UNHCR, kad tersebut dalam proses untuk diperbaharu,” kata peguam itu.

Bagaimanapun, Hakim Siti Shakirah Mohtarudin tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selepas mendapati tiada kad UNHCR yang sah untuk dipertimbangkan mahkamah.

Mahkamah menetapkan 14 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

KREDIT GAMBAR UTAMA: HARIAN METRO


Scroll to Top