SEREMBAN – Pernah dilabel sebagai pengkhianat oleh pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga tahun lalu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Abd Malek mengakui beliau tidak pernah terfikir untuk kembali menyertai parti berkenaan.
Menurut beliau, meskipun terdapat rakan dalam parti terbabit yang mengajaknya kembali, namun perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
“Saya tidak nafikan ada rakan daripada PKR yang datang berjumpa dan mengajak saya bersama. Namun, terus terang saya katakan, saya tidak pernah terfikir untuk kembali kepada PKR.
“Malah, selepas meninggalkan PKR, saya meneruskan kehidupan dengan gembira kerana tidak berdepan sebarang tekanan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di sini pada Jumaat.
Bekas Exco Kerajaan Negeri Sembilan itu menambah, sikapnya yang menyepi selama ini bukan disebabkan merajuk, sebaliknya beliau dalam tempoh bertenang dan mahu berehat daripada dunia politik.
Bagaimanapun, katanya, melihat prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini yang agak mengecewakan, beliau terpanggil untuk kembali menyertai arena politik, walaupun hanya sebagai ahli biasa.
“Saya berpendapat, sama ada mahu atau tidak, saya perlu terbabit dalam saluran siasah atau parti politik kerana dalam konteks negara, itulah ruang yang membolehkan saya memberikan sedikit sumbangan kepada masyarakat dan negara.
“Saya juga didesak oleh rakan-rakan untuk memainkan peranan lebih aktif dalam arena politik negara dan bagi saya, ia menjadi satu fardu kifayah,” katanya.
Namun, buat masa ini beliau enggan berkongsi lanjut mengenai parti yang menjadi pilihannya kerana masih dalam peringkat pemerhatian.
Jelasnya, keputusan untuk kembali dalam politik bukan semata-mata kerana menerima tawaran pihak tertentu, tetapi atas dasar tanggungjawab susulan kekecewaannya terhadap kerajaan ketika ini.
“Terdapat 71 parti politik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ketika ini, saya sedang mempertimbangkan untuk menyertai salah satu daripadanya, namun saya tegaskan ia bukan PKR.
“Walaupun begitu, saya masih berkawan seperti biasa dengan rakan dalam PKR dan tidak bermusuh dengan sesiapa,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kewujudan banyak parti politik di negara ini, beliau berkata, keadaan tersebut mencerminkan amalan sistem demokrasi, namun rakyat perlu bijak membuat penilaian.
Menurutnya, usaha untuk mengubah negara menjadi lebih baik memerlukan rakyat memilih pemimpin yang terbaik, bukan semata-mata berdasarkan parti.
“Saya juga berpendapat kewujudan parti-parti ini memerlukan kita saling hormat-menghormati antara satu sama lain, bukannya bermusuhan.
“Terdapat 71 parti berdaftar dengan SPR ketika ini dan bagi saya, ia bukan satu masalah,” katanya.
Untuk rekod, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, Mohamad Rafie yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan daripada PKR ketika itu membuat kejutan apabila bertanding sebagai calon Bebas selepas tidak disenaraikan.
Bagaimanapun, beliau tewas dalam pertembungan tiga penjuru dengan memperoleh 3,079 undi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau yang bertanding mewakili PH memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 1,360 undi.



