'Ikat tali kasut pun jadi isu' – Dembele pertahan Mbappe daripada kecaman melampau

'Ikat tali kasut pun jadi isu' – Dembele pertahan Mbappe daripada kecaman melampau

New York: Penyerang Perancis, Ousmane Dembele, tampil mempertahankan kapten pasukan, Kylian Mbappe dengan menyifatkan kritikan berterusan terhadap bintang Real Madrid itu sebagai tidak adil dan sudah melampaui batas.

Dembele yang menjadi antara tonggak utama Perancis pada Piala Dunia 2026 berkata, sesetengah pihak terlalu mudah menjadikan setiap tindakan Mbappe sebagai bahan kecaman.

Menurutnya, Mbappe bukan sahaja seorang pemain bertaraf dunia, malah individu yang baik serta pemimpin penting dalam skuad Les Bleus.

“Kritikan terhadapnya sangat tidak adil. Ada pihak yang terlalu keterlaluan mengkritik Kylian.

“Dia pemain luar biasa dan seorang insan yang baik di luar padang. Ada yang berlebihan mengkritiknya hanya kerana dia Kylian Mbappe.

“Sama ada dia mengikat tali kasut atau tidak, sama ada dia menarik stokingnya atau tidak, semuanya dipersoalkan. Itu terlalu melampau. Dia juga manusia biasa.

“Dalam pasukan Perancis, dia sangat baik dengan kami dan seorang pemimpin,” katanya kepada akhbar Sepanyol, Marca.

Mbappe terus menjadi antara pemain yang paling mendapat perhatian dalam bola sepak Perancis sejak meninggalkan Paris Saint-Germain (PSG) untuk menyertai Real pada 2024.

Walaupun kekal prolifik di hadapan gol, kapten Perancis itu menerima kritikan selepas Real gagal memenangi gelaran La Liga dan Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Malah, sebahagian pemerhati serta penyokong turut mempersoalkan kepimpinannya bersama skuad kebangsaan sejak mengambil alih lilitan kapten selepas persaraan Hugo Lloris daripada arena antarabangsa.

Dembele dan Mbappe dijangka menjadi sandaran utama Perancis dalam misi memburu gelaran Piala Dunia ketiga apabila memulakan kempen menentang Senegal, Selasa ini.

Dalam perkembangan sama, Dembele turut memberikan penghormatan kepada jurulatih Didier Deschamps yang akan mengundurkan diri selepas tamat Piala Dunia ini, menamatkan lebih sedekad khidmat bersama pasukan kebangsaan.

“Dia sememangnya jurulatih yang luar biasa. Dia akan sentiasa dikenang sebagai legenda dalam kalangan jurulatih Perancis,” katanya.

Deschamps membawa Perancis menjulang Piala Dunia 2018 sebelum muncul naib juara pada edisi 2022.

Mengulas kemungkinan legenda Perancis, Zinedine Zidane, menggantikan Deschamps, Dembele percaya bekas bintang Real Madrid itu mampu meneruskan legasi cemerlang skuad Les Bleus.

“Kami berharap dapat melihatnya mengendalikan pasukan Perancis suatu hari nanti. Saya yakin dia mampu melakukan tugas yang hebat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top