SEREMBAN – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat di Negeri Sembilan memberi mandat kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 untuk terus mentadbir negeri itu.
Perdana Menteri berkata, sokongan itu penting bagi membolehkan mandat diberikan sepenuhnya kepada Datuk Seri Aminuddin Harun dilantik semula selaku Menteri Besar supaya masa depan negeri lebih terjamin.
“Sekarang, saya minta mandat kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan… bagi mandat ini, Tok Min (Aminuddin Harun) dilantik sebagai Menteri Besar.
“Insya-ALLAH, masa depan Negeri Sembilan lebih terjamin. Masa depan negeri ini adalah masa depan pekerja, peniaga-peniaga kecil,” kata beliau ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya PH Negeri Sembilan di sini malam ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi PH Anthony Loke, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Penerangan PKR merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan barisan kepimpinan tertinggi yang lain.
Anwar turut menegaskan kerajaan yang memerintah ketika ini memberi tumpuan kepada usaha menjaga kebajikan rakyat serta memperkukuh ekonomi negara melalui kemasukan pelaburan.
Beliau berkata, prestasi pelaburan Malaysia menunjukkan perkembangan memberangsangkan berbanding beberapa negara jiran, dengan beberapa negeri turut mencatatkan pertumbuhan pesat.
“Saya nak tekan sekali lagi, kita memerintah untuk kebajikan rakyat. Kita nak kerja nak sebaik mungkin,” kata beliau dan menambah antara negeri yang menunjukkan lonjakan pembangunan ialah Johor dan Negeri Sembilan hasil daripada peningkatan aktiviti ekonomi dan pelaburan yang masuk ke negara ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak mengamalkan pendekatan bermusuhan walaupun wujud perbezaan politik dalam kalangan pemimpin.
“Saya bukan nak bermusuh, belah kanan (Kerajaan Perpaduan) Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, kita bekerja seperti biasa kerana kasih pada rakyat,” kata beliau.
Anwar berkata, kestabilan politik dan kerjasama dalam kalangan parti dalam Kerajaan Perpaduan penting bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata Kerajaan Persekutuan tidak campur tangan dalam urusan melibatkan institusi diraja di Negeri Sembilan sebaliknya segala perkara perlu diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan dan undang-undang sedia ada.
Beliau berkata walaupun terdapat pelbagai pandangan berhubung sistem beraja di negeri itu, Kerajaan Persekutuan tetap menghormati bidang kuasa kerajaan negeri serta institusi Yang Dipertuan Besar.
“Saya tahu di Negeri Sembilan ada juga yang tak setuju dengan keputusan saya. Saya tak campur, saya tidak campur dalam urusan negeri,” kata beliau.
Anwar berkata, beliau serta wakil kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan termasuk Undang di negeri itu, namun menegaskan beliau tidak mempertikai Adat Perpatih mahupun sistem dan perlembagaan negeri.
“Apakah saya tidak hubungi Undang? Saya ada hubungi Undang… saya tidak pertikai Adat Perpatih, Undang, Luak, saya tak pertikai. Itu perlembagaan negeri tetapi sementara ini, semua belum teratur dan beres, kita ada menteri besar, kita ada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan,” kata beliau.
Perdana Menteri turut mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan institusi diraja sebagai bahan pertikaian politik sehingga boleh menjejaskan kestabilan negara dan sistem Raja Berperlembagaan.
“Kita kata kita sokong sistem raja, tetapi pada masa sama bekerja untuk menggulingkan raja. Saya tidak setuju. Apa-apa perubahan mesti ikut peraturan perlembagaan,” kata Anwar. – Bernama



